Bahasa : BM | EN

Imigresen, Polis Diarah Bantu Urusan Dokumen 34 Murid Rentas Sempadan Secara Haram

16/04/2026 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Polis Kelantan untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada 34 murid warga Thailand yang dikesan merentas sempadan Malaysia secara haram, baru-baru ini.

Beliau berkata arahan tersebut bertujuan mempermudahkan urusan dokumen perjalanan murid berkenaan sekiranya mereka menghadapi masalah dokumentasi sehingga terpaksa menggunakan laluan tidak sah untuk ke sekolah.

"Semalam saya beri arahan kepada Ketua Pengarah Imigresen dan juga Ketua Polis Kelantan supaya bantu anak-anak ini untuk dipermudahkan dokumen perjalanan mereka. Kita tidak mahu ikut jalur biasa iaitu menangkap mereka di bawah Akta Imigresen, buka kertas siasatan (IP) dan mengenakan kompaun. 

“Sebaliknya, kita bantu mereka dari segi dokumentasi agar mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya pada sidang media selepas penyerahan dokumentasi inisiatif Mekar Didik dan Program Kaunter Lorong di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di sini hari ini.

Beliau berkata sempadan negara di Kelantan sepanjang lebih 100 kilometer dari Rantau Panjang ke Jeli mempunyai keunikan tersendiri kerana hubungan kekeluargaan yang erat antara penduduk di kedua-dua sempadan.

Saifuddin Nasution berkata kementerian sebelum ini bertindak proaktif dengan memenuhi permintaan pelajar terbabit untuk membuka pintu sempadan lebih awal bagi memudahkan urusan mereka ke sekolah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keselamatan negara tetap menjadi keutamaan kerana kawasan sempadan amat terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan.

"Kita perlu sedar ancaman jenayah seperti penyeludupan senjata api, migran, dadah dan barangan kawalan adalah nyata. Malah, terdapat kes di mana pelajar digunakan sebagai keldai untuk menyeludup dadah merentas sempadan.

"Sebab itu, tugas pasukan keselamatan adalah mengawasi sempadan negara agar tidak terdedah kepada ancaman ini. Namun, bagi kes melibatkan pelajar, kita akan uruskan sehikmah mungkin bagi memastikan akses pendidikan mereka tidak terjejas," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kos untuk mendapatkan pas sempadan hanyalah RM10 dan menggesa semua pihak yang terlibat supaya menggunakan laluan yang sah demi keselamatan bersama.

“Siasatan lanjut mengenai punca sebenar murid-murid tersebut memilih laluan haram kini diserahkan kepada pihak polis bagi mengenal pasti sama ada ia berpunca daripada masalah dokumentasi atau faktor lain,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan 34 murid dan pelajar warga Thailand yang dikesan memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan di sebuah pangkalan haram dekat Rantau Panjang di sini, ditahan Ahad lepas bagi menjalani proses dokumentasi namun dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

-- BERNAMA



 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami