Ramadan kini berada di penghujungnya.
Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum bulan yang penuh rahmat ini meninggalkan kita.
Sebelum tibanya Ramadan dahulu, ramai antara kita berdoa dengan penuh harapan agar dipanjangkan umur dan dipertemukan dengan bulan yang mulia ini.
Apabila Ramadan benar-benar tiba, suasana ibadah pada awalnya begitu meriah.
Masjid dan surau dipenuhi jemaah, hati dipenuhi semangat untuk beribadah, dan azam untuk memperbaiki diri terasa begitu kuat.
Namun ironinya, apabila Ramadan semakin menghampiri penghujungnya, semangat itu kadangkala mula pudar. Kehadiran jemaah di masjid dan surau semakin berkurangan.
Sebahagian orang mula kembali sibuk dengan tuntutan kerja, manakala sebahagian yang lain mula memberi perhatian kepada persiapan hari raya di pusat membeli-belah yang semakin sesak menjelang Aidilfitri.
Fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat hari ini. Pada awal Ramadan, masjid dan surau dipenuhi jemaah untuk solat tarawih dan pelbagai program ibadah.
Namun apabila memasuki sepuluh malam terakhir, sebahagian jemaah semakin berkurangan, sedangkan tempoh inilah yang sepatutnya paling dimanfaatkan kerana di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Keadaan ini seharusnya menyedarkan kita bahawa Ramadan bukan sekadar bulan ibadah yang datang dan pergi setiap tahun.
Ia merupakan peluang besar untuk membersihkan diri daripada dosa, memperbaiki hubungan dengan Allah SWT serta memperkukuh hubungan sesama manusia.
Ramadan boleh menjadi bulan keuntungan besar bagi orang yang memanfaatkannya, tetapi juga boleh menjadi bulan kerugian bagi mereka yang mengabaikannya.
Sepuluh kerugian besar yang boleh menimpa seseorang sekiranya Ramadan berlalu tanpa dimanfaatkan sepenuhnya.
Tidak Memperoleh Keampunan Dosa
Kerugian paling besar bagi seorang Muslim ialah apabila dia melalui Ramadan tetapi tidak memperoleh keampunan daripada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun terdapat juga peringatan keras dalam hal ini.
Dalam sebuah hadis, Malaikat Jibril pernah berdoa agar celaka seseorang yang sempat bertemu Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya, dan Nabi SAW mengaminkan doa tersebut (Riwayat al-Tirmizi).
Ini menunjukkan bahawa Ramadan merupakan peluang besar untuk membersihkan diri daripada dosa. Jika peluang ini diabaikan, seseorang sebenarnya telah mengalami kerugian besar dalam kehidupan rohaninya.
Tidak memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW
Selawat kepada Nabi Muhammad SAW merupakan amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam.
Allah SWT sendiri menyebut bahawa Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, dan orang beriman diperintahkan untuk berselawat kepada Baginda.
Rasulullah SAW juga memberi peringatan bahawa celakalah seseorang yang apabila disebut nama Baginda di sisinya tetapi dia tidak berselawat ke atas Baginda (Riwayat al-Tirmizi).
Ramadan sepatutnya menjadi masa terbaik untuk memperbanyakkan selawat. Selawat boleh dibaca selepas solat, ketika menunggu berbuka puasa, ketika memandu, atau ketika berehat antara rakaat solat tarawih.
Selain menjadi tanda cinta kepada Rasulullah SAW, selawat juga menjadi sebab seseorang memperoleh syafaat Baginda pada hari akhirat kelak.
Tidak Memperbanyakkan Doa Kepada Allah SWT
Doa merupakan lambang kehambaan manusia kepada Allah SWT. Ia menunjukkan bahawa manusia sentiasa bergantung kepada rahmat dan pertolongan Allah dalam setiap urusan kehidupan.
Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara doa yang tidak ditolak ialah doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka (Riwayat al-Tirmizi). Ini menunjukkan bahawa Ramadan merupakan waktu yang sangat istimewa untuk memperbanyakkan doa.
Apatah lagi jika seseorang masih mempunyai ibu yang hidup.
Dalam masyarakat Islam, doa seorang ibu sering dianggap sangat mustajab kerana kedudukannya yang sangat mulia dalam Islam.
Oleh itu, Ramadan merupakan masa yang sangat baik untuk memohon agar ibu turut mendoakan kebaikan, kesejahteraan dan keampunan buat anak-anak mereka.
Doa ibu yang dipanjatkan dalam keadaan berpuasa dan pada waktu-waktu mustajab dalam Ramadan merupakan antara doa yang sangat dekat untuk dimakbulkan oleh Allah SWT.
Tidak Memperbanyakkan Amalan Sunat
Ramadan merupakan bulan gandaan pahala.
Setiap amalan kebaikan yang dilakukan dalam bulan ini akan digandakan ganjarannya oleh Allah SWT.
Antara amalan sunat yang sangat digalakkan ialah menjaga solat-solat sunat rawatib, disamping menjaga solat fardu secara berjemaah.
Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang melazimi dua belas rakaat solat sunat dalam sehari semalam selain solat fardu, maka Allah akan membina baginya sebuah rumah di syurga (Riwayat Muslim).
Selain itu Rasulullah SAW juga menyebut bahawa sesiapa yang menjaga empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat selepasnya, Allah akan melindunginya daripada api neraka (Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi).
Tidak dilupakan juga, amalan beriktikaf sepanjang berada di masjid apatah lagi pada hari-hari terakhir Ramadan ini.
Rasulullah SAW sendiri sangat menitikberatkan amalan ini sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah dan mencari kelebihan malam al-Qadr.
Tidak Memperbanyakkan Sedekah
Rasulullah SAW terkenal sebagai insan yang sangat pemurah, dan sifat pemurah Baginda menjadi lebih terserlah pada bulan Ramadan.
Sedekah bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, tetapi juga membersihkan hati daripada sifat kedekut serta kecintaan melampau kepada harta.
Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar pada masa kini, masih ramai dalam kalangan masyarakat yang memerlukan bantuan.
Ramadan menjadi peluang untuk berkongsi rezeki dan meringankan beban mereka.
Pada zaman kini peluang untuk melakukan sedekah juga semakin mudah melalui teknologi digital. Aplikasi perbankan seperti Bank Islam menyediakan pautan khas Sadaqa – Jom Cari Lailatul Qadr yang membolehkan pengguna menyumbang kepada masjid, rumah anak yatim dan pelbagai institusi kebajikan setiap hari.
Tidak Mendirikan Qiamullail
Ramadan juga merupakan bulan untuk menghidupkan malam dengan ibadah seperti solat tarawih, witir, tahajud dan solat taubat.
Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang mendirikan ibadah pada malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Namun realitinya, ramai yang lebih memilih untuk berjaga malam dengan hiburan atau media sosial sehingga melupakan peluang untuk menghidupkan malam dengan ibadah.
Tidak Merebut Peluang Lailatul Qadar
Malam Lailatul Qadar merupakan salah satu keistimewaan terbesar yang dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Allah SWT menyatakan bahawa malam tersebut lebih baik daripada seribu bulan.
Para ulama menjelaskan bahawa anugerah ini merupakan manifestasi rahmat dan keadilan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Berbanding umat terdahulu yang diberikan umur yang panjang, umur umat Nabi Muhammad secara umumnya lebih pendek.
Oleh itu Allah mengurniakan satu malam yang nilainya menyamai ibadah selama lebih daripada lapan puluh tahun.
Justeru sepuluh malam terakhir Ramadan sepatutnya dimanfaatkan dengan sepenuh hati untuk memburu malam yang penuh keberkatan ini, bukan hanya sibuk berbicara tanda-tanda malam tersebut sahaja.
Menunaikan Terawih, Tetapi Meninggalkan Witir, Sunat Rawatib
Dalam masyarakat hari ini terdapat satu kebiasaan dalam kalangan sebahagian jemaah, iaitu mereka menunaikan solat tarawih di masjid tetapi pulang sebelum imam menyempurnakan solat witir.
Ada yang beranggapan lebih baik menunaikan witir sendiri di rumah atau menangguhkannya sehingga lewat malam.
Walaupun perkara ini dibenarkan dari sudut hukum, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sesiapa yang solat bersama imam sehingga imam selesai, maka akan dicatat baginya pahala seperti mendirikan solat sepanjang malam (Riwayat al-Tirmizi).
Oleh itu meninggalkan masjid sebelum imam menyempurnakan witir sebenarnya merupakan satu kerugian yang tidak disedari.
Terlalu Sibuk Dengan Persiapan Raya
Menjelang akhir Ramadan, pusat membeli-belah dan pasar raya menjadi semakin sesak kerana ramai yang mula membuat persiapan Aidilfitri.
Walaupun persiapan hari raya dibenarkan, ia tidak sepatutnya menyebabkan seseorang mengabaikan ibadah.
Sepuluh malam terakhir Ramadan sepatutnya menjadi waktu paling berharga untuk beribadah kerana di dalamnya terdapat peluang untuk meraih keberkatan Lailatul Qadar.
Bahkan, di malam hari raya juga perlulah dihargai dengan menghidupkan malam tersebut dengan amal ibadah seiring dengan saranan Rasulullah SAW dalam sabdanya:
“Sesiapa yang menghidupkan malam dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) kerana mengharap pahala daripada Allah, tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati manusia.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Baihaqi)
Mengakhiri Ramadan Tanpa Mengharapkan Penerimaan Amal
Kerugian terakhir ialah apabila seseorang mengakhiri Ramadan tanpa benar-benar mengharapkan agar amalannya diterima oleh Allah SWT.
Para ulama menekankan keseimbangan antara khawf (bimbang) dan raja’ (harapan) dalam beribadah.
Khawf menjadikan seseorang sentiasa bimbang jika amalannya tidak diterima oleh Allah kerana kelemahan dan kekurangan dirinya.
Perasaan ini menjadikan seseorang tidak mudah berasa puas atau bangga dengan ibadah yang telah dilakukan.
Dalam masa yang sama, raja’ pula menumbuhkan harapan yang besar terhadap rahmat Allah SWT.
Seorang hamba berharap agar segala amal yang dilakukan sepanjang Ramadan diterima oleh Allah, walaupun amal tersebut mungkin tidak sempurna.
Para salafussoleh sering menunjukkan sikap ini. Walaupun mereka bersungguh-sungguh dalam ibadah, mereka tetap berdoa dan berharap agar Allah menerima amalan tersebut.
Ramadan datang hanya sebulan dalam setahun, namun peluang yang dibawanya amat besar. Ia adalah musim keampunan, musim rahmat dan musim untuk memperbaiki diri.
Namun Ramadan juga boleh menjadi bulan kerugian bagi mereka yang tidak memanfaatkannya.
Apabila bulan ini berlalu, ia tidak akan kembali lagi sehingga tahun hadapan — dan tiada siapa yang dapat memastikan bahawa dia masih akan dipertemukan dengan Ramadan yang seterusnya.
Oleh itu, baki hari yang masih ada perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Perbanyakkan doa, hidupkan malam dengan ibadah dan rebut peluang untuk mencari malam Lailatul Qadar.
Mudah-mudahan Ramadan kali ini menjadi titik perubahan dalam kehidupan kita dan menjadikan kita termasuk dalam kalangan hamba yang mendapat keampunan serta rahmat Allah SWT.
-- BERNAMA
Dr. Mohd Nizwan Musling ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama & Felo Bersekutu Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia.
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah