Bahasa : BM | EN

Tidak Wujud Bantuan Kewangan RM1,500 Kepada Suri Rumah, Ibu Tunggal dan Warga Emas Pada Februari

20/02/2026 10:26 AM
By :
Zed Arjunaidi

Suntingan: Adila Ali & Shazlina Azman

SEKILAS FAKTA

  • Tular di platform Threads bahawa kerajaan telah meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM1,500 kepada suri rumah, warga emas dan ibu tunggal.

Menurut hantaran yang dimuat naik, permohonan boleh dibuat mulai 8 hingga 13 Feb 2026 dan orang ramai yang ingin memohon diminta menekan pautan yang terdapat di profil akaun.

  • Semakan MyCheck mendapati maklumat itu adalah palsu. Dakwaan hampir sama kononnya kerajaan memberikan bantuan kewangan RM1,500 kepada suri rumah dan ibu tunggal pernah tular pada Julai 2025 dan Januari 2026.

  • Pautan yang diberikan membawa ke satu laman sesawang diragui dan dipercayai menggunakan taktik phishing dan Telegram Takeover kerana memerlukan pengisian nombor telefon yang digunakan untuk Telegram serta maklumat peribadi.

  • pix1

     

    MENGENAI DAKWAAN

    Tular dakwaan bahawa kerajaan telah meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM1,500 kepada suri rumah, ibu tunggal dan warga emas.

    Menurut dakwaan yang dimuat naik di akaun bantuankerajaan_malaysia_2026 di platform Threads itu, permohonan untuk mendapatkan bantuan tersebut boleh dibuat mulai 8 hingga 13 Feb 2026 melalui pautan yang disediakan di profil akaun itu.

    Turut dimuat naik satu tangkap layar memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap.

     

    pix2

     

    APA YANG KAMI TEMUI

    Permohonan Melalui Pautan

    MyCheck menatal ruangan komen yang rata-rata bertanyakan tentang bagaimana ingin memohon bantuan terbabit.

    Pengendali akaun bantuankerajaan_malaysia_2026 itu meminta netizen ke laman profil dan menekan pautan yang disediakan.

     

    pix3

     

    Bukan Pautan ke Laman Sesawang Kerajaan

    MyCheck beralih ke profil akaun berkenaan dan tertera satu pautan iaitu ‘https://register.try-rg1.com/bn1/’.

    Alamat pautan itu jelas menunjukkan ia bukan pautan daripada laman sesawang kerajaan kerana tidak berakhir dengan perkataan gov.my.

     

    pix4

     

    Bagaimanapun untuk mengetahui lanjut, MyCheck klik pautan itu dan ia membawa ke satu laman tertera semakan status serta ruangan untuk pengisian nama dan nombor telefon Telegram.

     

    pix5

     

    Terdapat penggunaan bahasa rojak pada ayat ‘Nombor Phone Telegram’ di ruangan semak status itu.

    Laman sesawang kerajaan tidak mungkin menggunakan percampuran bahasa Malaysia dan Inggeris yang ketara seumpama itu, yang menguatkan lagi bahawa pautan tertera tidak boleh dipercayai.

     

    Gambar Perdana Menteri Tiada Kaitan Dengan Bantuan Kewangan

    Berikutan hantaran yang dimuat naik memaparkan gambar perdana menteri, MyCheck turut membuat carian menggunakan teknik imej berbalik.

    Kami mengenal pasti bahawa gambar yang digunakan dalam hantaran tular itu sebenarnya langsung tiada kaitan dengan sebarang bantuan kewangan, sebaliknya ia dirakam ketika perdana menteri berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus dan Integriti Malaysia 2025 pada 15 Julai 2025.

    Laporan berita mengenainya boleh dirujuk di sini, di sini dan di sini.

     

    pix6

     

    Bantuan Kewangan RM1,500 Tidak Wujud, Pernah Beberapa Kali Tular

    Kami membuat carian seterusnya menerusi Google dan mendapati terdapat hantaran oleh Kementerian Kewangan di Facebook pada 12 Jan 2026.

    Menerusi hantaran itu, kementerian berkenaan menafikan dakwaan kerajaan meluluskan bantuan berjumlah RM1,500 kepada suri rumah, bujang atau ibu tunggal, yang boleh dimohon mulai 12 Jan hingga 27 Feb 2026.

    Menurut Kementerian Kewangan, tiada sebarang bantuan RM1,500 seperti yang tular dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan maklumat palsu dan sentiasa merujuk saluran rasmi kerajaan.

     

    pix7

     

    MyCheck pada 18 Julai 2025 pernah mengeluarkan laporan berhubung dakwaan hampir sama kononnya kerajaan menyediakan bantuan kewangan, juga berjumlah RM1,500 kepada suri rumah dan ibu tunggal.

    Bantuan itu dikatakan boleh dimohon menerusi satu pautan yang diberikan namun pautan itu sebenarnya taktik phishing untuk mencuri maklumat peribadi dan menggodam akaun Telegram mangsa (Telegram Takeover).

    Laporan penuh boleh dibaca di sini.

     

    KESIMPULAN

    Berdasarkan semakan, tidak wujud bantuan kewangan berjumlah RM1,500 kepada suri rumah, warga emas dan ibu tunggal, sebagaimana dakwaan tular.

    Dakwaan yang menggunakan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau mengumumkan bantuan kewangan tersebut dibuka untuk permohonan, merupakan scam.

    Gambar yang digunakan itu sebenarnya dirakam pada 15 Julai 2025, ketika Anwar menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus dan Integriti Malaysia 2025.

    Pautan yang diberikan juga menggunakan alamat laman web yang mencurigakan dan tidak berakhir dengan "gov.my".

    -- MYCHECK.MY --

     

    RUJUKAN

    1. Threads | Bantuan Kerajaan Malaysia 

    2. Sumbangan Asas Rahmah

    3. Astro Awani | Amaran penipuan: Jangan percaya pautan kerajaan tanpa 'gov.my' - Teo| 5 Mei 2025

    4. Kementerian Kewangan | Berita Palsu | 12 Januari 2026

    5. Berita Harian | Minggu yang mencorakkan kepimpinan Anwar Ibrahim | 2 Ogos 2025

    6. Sinar Daily | Judicial appointments announcement expected tomorrow, says PM | 15 Julai 2025

    7. Bernama | Menentang Rasuah Pacu Ekonomi | 15 Julai 2025

    8. MyCheck Malaysia | Makluman Bantuan Kewangan RM1,500 Untuk Suri Rumah Adalah Palsu | 18 Julai 2025

     

    x

    HUBUNGI KAMI

    Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
    Kementerian Dalam Negeri
    Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62546 Putrajaya
    Malaysia

    +603-8880 8854
    +603-8880 8829
    nsomapo[at]moha.gov.my

    Visitors 0

    Ikut Kami