Bahasa : BM | EN

Tidak Benar. Tawaran Rumah Percuma Oleh Kerajaan Tidak Wujud, Waspada ‘Scammer’

14/02/2026 11:04 AM
By :
Azurra Iz

Suntingan: Adila Ali & Shazlina Azman

SEKILAS FAKTA

  • Tular video kononnya kerajaan menawarkan unit rumah secara percuma tanpa sebarang deposit, sewaan mahupun pinjaman institusi perbankan kepada individu yang berusia atas 21 tahun termasuklah warga asing.

Semakan MyCheck mendapati dakwaan tersebut adalah palsu dan tidak wujud sebarang program perumahan yang ditawarkan secara percuma.

  • Kerajaan tidak pernah menyediakan unit rumah percuma sebaliknya mewujudkan perumahan mampu milik kepada warganegara Malaysia berpendapatan rendah dengan sewaan rendah atau pembiayaan bina rumah di atas tanah sendiri.

  • Video tular berkenaan dipercayai adalah taktik scammer untuk memancing data peribadi dan perbankan orang awam bagi tujuan penipuan.

  • pix1

     

    MENGENAI DAKWAAN

    Tular dakwaan bahawa kerajaan mewujudkan rumah percuma kepada orang awam, yang diiklankan menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebook.

    Menurut kapsyen dalam bahasa Inggeris pada video itu, semua orang awam berusia 21 tahun ke atas layak memohon termasuklah warga asing.

    Kapsyen penuh adalah seperti berikut:

    The Malaysian government has now launched a free public housing program.

    As long as you are 21 years old or above, you are eligible to apply.

    No deposit, no rent, and no loan required. 

    This is permanent housing, not a 99-year lease.

    Foreigners are also eligible to apply.

    It’s already 2026 - don’t tell me you still didn’t know about this!

    Click to message me now and apply for a home of your own,”.

     

    Terjemahan:

    Kerajaan Malaysia kini telah melancarkan program perumahan awam percuma.

    Sekiranya anda berumur 21 tahun ke atas, anda layak untuk memohon.

    Tiada deposit, tiada sewa, dan tiada pinjaman diperlukan.

    Ini adalah hartanah pegangan bebas, bukan pegangan pajakan 99 tahun.

    Warga asing juga layak untuk memohon.

    Kini sudah 2026 - jangan katakan anda masih tidak tahu tentang perkara ini!

    Klik untuk menghantar mesej kepada saya sekarang dan mohonlah rumah sendiri,”.

     

    pix2

     

    APA YANG KAMI TEMUI

    Ramai Berminat

    Hantaran tersebut mendapat perhatian netizen dengan lebih 4,000 menyatakan ‘tanda suka’, lebih 500 berkongsi hantaran itu serta mendapat lebih 1,000 komen.

    Menatal ke bahagian komen, pelbagai reaksi diberikan yang rata-ratanya menyatakan minat untuk memohon serta bertanyakan lebih lanjut mengenai cara permohonan.

    Tidak kurang ada yang meragui dan mempersoalkan kenapakah tawaran itu juga diberikan kepada warga asing dan ada yang terus merumuskan tawaran itu merupakan satu bentuk penipuan.

    Apabila ada pertanyaan mengenai maklumat lanjut tentang lokasi dan sebagainya, pengendali akaun meminta orang ramai menghantar mesej peribadi.

     

    pix3

     

    Akaun Khas Promosi ‘Rumah Percuma’'

    MyCheck kemudian melakukan semakan lanjut di akaun Facebook yang memuat naik iklan rumah percuma itu.

    Akaun tersebut menggunakan nama Perumahan kebajikan kerajaan di Malaysia dan mempunyai lebih 1,600 pengikut setakat laporan ini ditulis.

    Berdasarkan maklumat lanjut pada profil, akaun itu dibuat pada 27 Mac 2024. 

    Kami meneliti satu persatu hantaran yang dimuat naik di akaun itu. Terdapat 17 hantaran dengan hantaran pertama dibuat pada 16 Dis 2025.

    Kesemua hantaran adalah mengenai iklan perumahan secara percuma kepada orang awam membabitkan perumahan berbentuk pangsapuri dan rumah bertanah (landed property).

     

    pix4

     

    Rumah Percuma Tidak Wujud, Dipercayai Modus Operandi Scammer

    MyCheck turut cuba menghubungi akaun tersebut di platform Facebook dengan menyamar kononnya kami berminat untuk memohon rumah berkenaan.

    Pengendali akaun itu meminta kami menekan pautan WhatsApp yang diberikan untuk dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp (WhatsApp Group) bagi menerangkan proses permohonan.

    Setelah menyertai kumpulan WhatsApp tersebut, kami diminta untuk menghubungi salah seorang ‘admin’ yang berada di dalam kumpulan tersebut.

    Hasil perbualan, kami dimaklumkan bahawa hanya perlu membayar yuran guaman berjumlah antara RM600 hingga RM3,200 (mengikut jenis rumah) untuk peguam menyediakan kontrak pindah milik perumahan.

    Kami kemudian diminta untuk mendaftar permohonan menerusi pautan diberi dan perlu mengikuti langkah-langkah yang diberikan.

     

    pix5

     

    Permintaan membayar sejumlah wang bagi mendapatkan sesuatu terutama yang ‘tidak munasabah’ seperti rumah percuma lazimnya merupakan antara taktik scammer untuk memperdaya mangsa.

    Selain itu scammer juga berkemungkinan cuba menggunakan taktik phishing atau memancing data peribadi orang awam melalui borang permohonan yang perlu diisi menerusi pautan yang diberi.

     

    Banyak Perkara Mencurigakan

    Meneliti lanjut, kami dapati terdapat banyak perkara mencurigakan di akaun Facebook tersebut yang mewujudkan kesangsian terhadap kesahihan iklan rumah percuma itu antaranya seperti berikut:

            1. Pemilihan kategori akaun

    Tertera perkataan ‘Fashion Accessories’ pada profil. Pemilihan kategori ‘fesyen’ untuk akaun yang semua kandungannya mengenai perumahan kerajaan adalah sangat pelik.

    Mana-mana pengendali akaun Facebook bagi apa jua projek membabitkan orang ramai, apatah lagi oleh kerajaan lazimnya akan memastikan maklumat yang dinyatakan pada profil adalah tepat dan berkaitan, bukannya secara semberono.

     

            2. Video dengan ‘pelat’ warga asing

    Video pertama yang dimuat naik di akaun itu juga agak pelik kerana memaparkan seorang lelaki bercakap dalam bahasa Melayu tetapi kedengaran pelat seperti warga asing.

    Video itu berkemungkinan hasil janaan kecerdasan buatan (AI).

     

            3. Guna gambar Agong, Perdana Menteri

    Terdapat beberapa video menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diletakkan di permulaan video.

    Semakan MyCheck menggunakan carian imej berbalik di aplikasi Google mendapati gambar-gambar tersebut telah disunting dengan meletakkan kasyen promosi rumah percuma.

    Gambar Sultan Ibrahim sebenarnya diambil dari akaun Facebook rasmi baginda iaitu Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Anda boleh lihat di sini dan di sini.

    Gambar Anwar pula dirakam ketika satu sidang media di luar Istana Negara pada 22 Nov 2022 selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

    Gambar itu boleh dilihat dalam laporan media di sini dan di sini.

     

    pix6

     

    Audio Asal ‘Disenyapkan’

    Pautan itu membawa kami ke sebuah video memaparkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam satu sidang media.

    Namun apa yang peliknya, audio percakapan menteri tersebut telah ‘disenyapkan’, sebaliknya hanya terdapat sari kata mengenai program perumahan percuma.

     

    pix7

     

    Selain itu dalam laman web tersebut turut tertera beberapa butang yang boleh ditekan antaranya ‘Identity Information’ yang mana orang ramai yang ingin memohon perumahan perlu mengisi butiran peribadi mereka di dalam borang disediakan secara dalam talian.

     

    Sari Kata Diubah Suai, Menteri Ulas Mengenai Perumahan Mampu Milik, Bukan Rumah Percuma

    MyCheck kemudian melakukan carian di semua platform untuk menjejaki video asal sidang media tersebut bagi mengesahkan butiran percakapan menteri terbabit.

    Hasil carian menemui beberapa klip video yang memaparkan situasi sama sidang media tersebut yang turut disertai oleh Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Datuk NK Tong pada majlis Pameran Expo Hartanah dan Perumahan (Mapex) 2023 yang berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley.

    Video tersebut boleh dilihat di sini, di sini dan di sini.

    Hasil penelitian terhadap video tersebut mendapati butiran percakapan menteri ketika sidang media itu bukanlah mengenai program perumahan percuma, tetapi berkenaan usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menangani projek ‘sakit’ serta perumahan untuk golongan B40.

    Laporannya boleh dilihat di Bernama dan Sinar Harian.

     

    Perumahan Kerajaan Fokus Pada Mampu Milik, Bantuan dan Subsidi

    Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program perumahan yang disediakan oleh kerajaan, MyCheck melayari laman web rasmi KPKT dan memilih menu “Perumahan” di bawah kategori Program Utama pada halaman utama laman web tersebut.

    Di bawah tajuk ini, terpapar senarai program perumahan yang disediakan kerajaan antaranya Program Perumahan Rakyat (PPR), Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Rumah Transit Belia dan Rumah Mesra Rakyat.

    Setiap satu kategori ini mempunyai maklumat lanjut tentang program perumahan masing-masing.

    Semakan mendapati tiada satu pun program atau inisiatif kerajaan yang memberikan rumah percuma sepenuhnya, tanpa bayaran langsung, tanpa sewa mahupun tanpa pinjaman.

    Skim perumahan kerajaan yang wujud lebih kepada perumahan mampu milik, bantuan dan subsidi, bukan rumah percuma tanpa bayaran.

    Mengambil contoh Program Perumahan Rakyat (PPR) yang merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan melalui KPKT, yang menyediakan perumahan selesa, selamat dan mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah, tetap disewakan pada kadar RM124 sebulan.

    Harga jualan pula antara RM35,000 hingga 42,000 seunit bergantung kepada lokasi.

    Selain KPKT, Jabatan Wilayah Persekutuan turut melaksanakan program perumahan Residensi Wilayah bagi membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah di Wilayah Persekutuan memiliki rumah pertama.

     

    JPN, KPKT Tidak Pernah Sedia, Promosi Inisiatif Rumah Percuma

    Untuk pengesahan, MyCheck menghubungi pegawai media KPKT dan mengajukan persoalan berkaitan kewujudan perumahan percuma ini.

    “Video tersebut tidak menyertakan butiran pemaju, agensi pelaksana, nombor lesen atau rujukan skim rasmi. Sehubungan itu, kesahihannya tidak dapat dipastikan,” katanya.

    Menurut wakil kementerian itu, Jabatan Perumahan Negara, KPKT tidak pernah menyediakan atau mempromosikan inisiatif rumah percuma sebagaimana diiklankan di akaun Facebook perumahan kebajikan kerajaan itu.

     

    Portal TEDUH

    Bagi membantu orang ramai mendapatkam maklumat tentang projek atau program perumahan awam, KPKT menyediakan Portal TEDUH yang merupakan saluran portal utama memaparkan tentang projek dan program perumahan awam dan swasta di Malaysia.

    Ia menyediakan carian projek mengikut nama projek, skim atau program, negeri dan harga.

     

    KESIMPULAN

    Dakwaan tular di media sosial kononnya kerajaan ada menawarkan perumahan percuma kepada orang ramai termasuklah warga asing adalah palsu.

    Kerajaan tidak pernah mewujudkan program perumahan percuma tanpa syarat apatah lagi menawarkannya kepada warga asing untuk memohon.

    Skim perumahan kerajaan yang ada ketika ini adalah perumahan mampu milik antaranya menerusi pemberian subsidi, sewa beli dan kemudahan pinjaman bagi memastikan rakyat mendapat kediaman selesa tetapi bukannya pemberian percuma.

    Hati-hati, ini adalah taktik scammer untuk memancing data peribadi, justeru orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran tidak masuk akal.

    Rujuk saluran serta laman sesawang rasmi kementerian berkaitan bagi mengelakkan penipuan.

    -- MYCHECK.MY --

     

    RUJUKAN

    1. Facebook | Free Welfare Housing? | Januari 2026

    2. Facebook | Perumahan kebajikan kerajaan di Malaysia | Januari 2026 

    3. Portal | Welfare Housing 

    4. Facebook | Amaran Scam | 14 April 2025

    5. Facebook | Sultan Ibrahim Sultan Iskandar 

    6. Facebook | Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

    7. Facebook | Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

    8. Portal | Malaysia’s longtime opposition leader Anwar sworn in as PM | 24 Nov 2022 

    9. Portal | Reaction to: Anwar becoming PM10 | 24 Nov 2022

    10. YouTube | KPKT berjaya selesai 17 daripada 24 projek ‘sakit’ | 2023

    11. YouTube | Projek Terbengkalai, KPKT berjaya selesai 17 daripada 24 projek sakit |28 Oktober 2023

    12. YouTube | Gempur projek terbengkalai, KPKT perkenal konsep ‘bina dahulu baru jual’ | 2023

    13. Portal | KPKT Sasar Laksanakan Sistem Bina, Jual Rumah Secara Pilihan Bagi Tangani Projek Sakit | 27 Oktober 2023

    14. Portal | Rehda, KPKT sedia bantu B40, M40 miliki rumah | 27 Oktober 2023

    15. Laman Web | KPKT  

    16. Portal | Portal TEDUH 

    x

    HUBUNGI KAMI

    Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
    Kementerian Dalam Negeri
    Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62546 Putrajaya
    Malaysia

    +603-8880 8854
    +603-8880 8829
    nsomapo[at]moha.gov.my

    Visitors 0

    Ikut Kami