Bahasa : BM | EN

Pesara Kerajaan Rugi RM50,000 Ditipu "Phone Scam"

01/02/2026 08:56 AM

KUALA TERENGGANU, 1 Feb (Bernama) -- Seorang pesara kerajaan wanita mengalami kerugian sebanyak RM50,000 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon atau phone scam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 29 Jan lepas, mangsa yang berusia 71 tahun telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata suspek mendakwa nama mangsa telah disalahgunakan untuk pendaftaran meter TNB yang diubah suai untuk kerja mencuri elektrik di Pahang, sebelum disambungkan pula kepada rakan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

"Mangsa yang berasal dari Batu Rakit, Kuala Nerus didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan perlu memindahkan wang simpanannya ke akaun sementara yang diberikan oleh suspek kononnya untuk tujuan siasatan.

"Suspek juga berjanji bahawa wang tersebut akan dipulangkan selepas siasatan kes berkenaan selesai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang bimbang dikenakan tindakan undang-undang telah membuat pindahan wang berjumlah RM50,000 ke lima akaun berbeza seperti diarahkan suspek.

Beliau berkata mangsa bagaimanapun berasa curiga kerana suspek gagal dihubungi dan menceritakan kejadian itu kepada anaknya untuk mendapat nasihat.

"Mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis pada 10.05 pagi semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami