Bahasa : BM | EN

Rakyat Berhak Bersuara, Tetapi Perlu Ada Pencerahan Dan Batas Perlembagaan - PM Anwar

07/12/2025 02:59 PM

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Kebebasan rakyat untuk bersuara dalam sistem demokrasi tidak boleh dipisahkan daripada usaha memberikan pencerahan dan kefahaman mengenai batas Perlembagaan, nilai bersama serta prinsip kebenaran dalam masyarakat majmuk, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa rakyat berhak menyuarakan pandangan termasuk rasa tidak puas hati namun suara tersebut perlu dipandu dengan ilmu, adab dan kesedaran terhadap nilai kebaikan. 

“Sebenarnya kita beri ruang untuk rakyat berhak menyuarakan tetapi saya minta supaya ada pencerahan,” kata Anwar pada sesi dialog awam selama 30 minit sempena majlis perasmian penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini hari ini.

Turut serta pada sesi berkenaan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar berkata tradisi politik Islam menggariskan bahawa kebebasan datang bersama tanggungjawab dan keupayaan menilai sesuatu perkara secara adil, beradab dan berpaksikan kebenaran.

Justeru, beliau berkata pendidikan, jabatan kerajaan, akademi kenegaraan dan usaha komunikasi memainkan peranan penting dalam memberi pencerahan berterusan kepada rakyat.

Perdana Menteri turut menarik perhatian terhadap kelompok yang lantang menentang rasuah tetapi pada masa sama memuliakan atau mendukung pihak yang jelas memberi rasuah.

“Dalam sistem demokrasi ini, orang yang paling bobrok nilainya…dia yang sepatutnya marah kepada orang menerima rasuah tetapi dia boleh mendewakan pula orang yang memberi rasuah secara terang-terangan.

“Rakyat harus tahu apa dia Perlembagaan, apa batas dia, apa hukum dalam rukun hidup pelbagai kaum dan negara. Kalau tidak, masing-masing akan ikut sentimen sendiri…ideologi ekstrem kiri, ekstrem kanan, perkauman tebal atau wilayah yang eksklusif,” katanya.

Anwar berkata pembinaan negara tidak boleh diasaskan kepada sikap merasakan diri “paling benar, paling pintar, paling cekap”, sebaliknya memerlukan keterbukaan mendengar pandangan dan kritikan secara sihat.

“Sebab itu mesti ada keupayaan untuk mendapat maklumat yang baik dengan tujuan yang baik. Boleh tegur, boleh kritik, boleh bagi cadangan balas…tapi tidak boleh menghina, mendera, mencerca apalagi menipu, menyogok atau memutar belit kenyataan,” katanya.

Mengulas isu kos sara hidup, Perdana Menteri berkata kerajaan mendengar dan mengambil maklum teguran rakyat terhadap pelbagai dasar, serta mengambil langkah dengan membuat dua pengumuman penting.

Antaranya langkah penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang menurut beliau membuktikan kerajaan memilih pendekatan berhemat tanpa membebankan rakyat, berbanding cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api diapungkan mengikut harga pasaran.

“Penurunan ini sangat bermakna kerana ia juga melibatkan tekad politik dan kemampuan ekonomi kita,” katanya.

Selain subsidi bersasar, Anwar berkata kerajaan memperluaskan program Jualan RAHMAH sebagai langkah segera membantu rakyat yang masih terkesan dengan inflasi meskipun kadar inflasi Malaysia kekal antara yang terendah di dunia.

“Inflasi sedikit pun memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan rendah…sebab itu kos sara hidup antara isu yang kita tangani secara serius,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus memperbaiki penyampaian maklumat dan menjelaskan manfaat program kepada rakyat supaya keresahan serta keluhan diberi perhatian sewajarnya.

Beliau berkata kerajaan juga mengambil tindakan tegas memerangi kartel, termasuk kartel ayam dan telur yang wujud puluhan tahun, di samping memperkukuh penguatkuasaan bagi menyekat penyeludupan dan ketirisan yang dianggarkan mencecah RM15.5 bilion.

Namun, menurut Anwar usaha besar itu tidak menjadi naratif umum atau perbahasan serius di Parlimen.

“Patut berilah penghargaan kepada penguatkuasaan…orang kerja, ambil risiko, kerja berat, menyelamatkan RM15.5 bilion wang negara. Tetapi ia tidak jadi naratif, yang ada mungkin hal-hal kecil dibebel sepanjang masa,” katanya.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami