Daripada Saraswathi Muniappan
ADDIS ABABA, 20 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru belia Malaysia dan Afrika supaya keluar daripada "mentaliti kolonial” dan budaya imperialisme, bagi memastikan masa depan yang adil dan progresif berasaskan kekuatan diri.
Sambil menggesa masyarakat dan negara yang telah mencapai kemerdekaan supaya bebas menentukan hala tuju sendiri, beliau berkata belia Malaysia dan Afrika perlu terlibat secara langsung dalam pembinaan semula negara dan ekonomi mereka sendiri.
“Oleh itu, belia mesti menimbang dan membuat keputusan sendiri dalam membentuk masa depan Afrika dan Asia,” katanya sambil menekankan kepentingan penglibatan golongan muda dalam menentukan hala tuju negara masing-masing.
Anwar berkata pemikiran sedemikian amat penting kerana walaupun beberapa dekad selepas tamat pemerintahan kolonial, masih terdapat masyarakat yang membawa kesan psikologi dan budaya penaklukan.
"Mentaliti kolonial masih wujud, dengan negara-negara merdeka bertindak seolah-olah pemerintah kolonial.
“Itulah sebabnya kita melihat banyak negara merdeka di Asia, Afrika dan Amerika Latin bertindak lebih seperti pemerintah biasa daripada sebagai peneraju kebebasan, keadilan dan kemerdekaan,” kata beliau ketika menyampaikan kuliah bertajuk Bridging Civilisations, Building Futures: Strengthening Afro-Malaysia Partnership for Shared Prosperity di ibu negara Ethiopia itu.
Perdana Menteri ketika berucap di hadapan belia Ethiopia berkata: “Kita telah menentang perhambaan dan kolonialisme, jadi kita tidak seharusnya menjadi hamba dalam pemikiran dan sikap kita.”
Beliau mengingatkan jika mentaliti sebegini tidak dihentikan, ia boleh menyebabkan sesebuah negara menyimpang daripada nilai keadilan dan kebebasan yang pernah diperjuangkan.
Justeru, Anwar berkata jika Afrika dan Asia benar-benar ingin membina masa depan lebih baik, rakyatnya terutama golongan muda mesti memiliki keyakinan untuk melepaskan mentaliti yang pernah mengekang mereka.
Hadir sama Menteri Wanita dan Hal Ehwal Sosial Ethiopia Ergoge Tesfaye, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.
Forum Belia Afro-Malaysia bertajuk Youth Partnership for Shared Prosperity, yang dianjurkan bersama Majlis Belia Ethiopia, Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Malaysia, telah menarik 250 peserta.
Sementara itu, Ergoge dalam ucapannya berkata pembangunan belia bukan sahaja memerlukan program, tetapi juga sistem, kebolehcapaian dan kesaksamaan sambil menyatakan minat Ethiopia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi meningkatkan keupayaan belia termasuk melalui program pertukaran, hab inovasi dan inisiatif penyelidikan.
Menjelang 2050, populasi belia Afrika dijangka meningkat dua kali ganda kepada 830 juta dengan populasi usia bekerja benua itu meningkat daripada 849 juta pada 2024 kepada 1.56 bilion, menyumbang 85 peratus daripada peningkatan tenaga kerja global, menurut Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Lawatan rasmi selama tiga hari bermula 18 Nov lepas, merupakan lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia ke negara terkenal dengan julukan “Tanduk Afrika” itu.
Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja bermula 20 hingga 23 Nov untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dan diikuti lawatan rasmi ke Kenya.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah