Bahasa : BM | EN

Transformasi Tulen Penting Untuk Pembinaan Malaysia Yang Adil Dan Mampan – PM Anwar

21/10/2025 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu melaksanakan agenda transformasi tulen bagi mencapai kemajuan dan membina sebuah masyarakat yang lebih adil serta mampan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata negara tidak boleh terus bergantung pada sistem dan amalan lapuk, sebaliknya perubahan bermakna mesti bermula dengan anjakan pemikiran serta komitmen terhadap tadbir urus yang baik.

“Jika negara ini ingin bergerak ke hadapan dan membina masyarakat yang lebih baik, ia tidak boleh terus bergantung pada sistem lama. Ada aspek positif yang boleh dikekalkan, tetapi perubahan tetap penting,” katanya ketika merasmikan Forum Ilmu PNB 2025 di sini hari ini.

Anwar berkata transformasi tidak seharusnya sekadar menjadi slogan atau retorik dasar, sebaliknya reformasi hanya akan bermakna sekiranya diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang nyata dan berkesan.

“Kita sering bercakap tentang reformasi dan transformasi, namun ujian sebenar bagi kerajaan, sektor awam dan korporat ialah bagaimana untuk melaksanakannya secara praktikal,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perubahan struktur tidak akan dapat dicapai tanpa integriti dan akauntabiliti dalam tadbir urus, sambil memberi amaran bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa masih menjadi penghalang utama kepada kemajuan negara.

“Bagaimana kita boleh bercakap tentang transformasi jika masih terikat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa? Mencabar golongan elit politik, sosial dan perniagaan yang beranggapan mereka boleh membazir atau menyalahgunakan kekayaan tanpa sebarang hukuman bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia perlu dilakukan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah memulihkan kira-kira RM15.5 bilion hasil yang hilang akibat ketirisan, penyeludupan dan kes rasuah dalam tempoh dua tahun lepas.

Beliau turut menekankan fokus kerajaan terhadap rasionalisasi subsidi dan penstrukturan semula ekonomi, yang disifatkannya sebagai langkah sukar tetapi perlu bagi mencapai transformasi jangka panjang.

Anwar berkata transformasi memerlukan keberanian dan kesepakatan nasional kerana ia bukan sekadar berkisar tentang teknologi atau pendigitalan, tetapi berhubung keadilan, hati nurani serta memastikan kemajuan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami