Suntingan: Adila Ali & Shazlina Azman
SEKILAS FAKTA
Tular dakwaan di media sosial bahawa jagung ungu yang popular di Cameron Highlands adalah jagung tiruan yang dicelup warna ungu, memandangkan warnanya hilang sejurus ia direbus.
Semakan MyCheck mendapati dakwaan itu tidak benar. Jagung berasal dari Peru itu mengandungi antosianin iaitu sejenis pigmen yang memberikan warna semula jadi kepada tumbuhan-tumbuhan.
Menurut Penolong Pegawai Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Mohd Nazrul Anis, sememangnya wujud dua jenis jagung ungu yang salah satunya mudah luntur memandangkan sifat antosianin itu sendiri mudah larut dalam air.
Bagi mengelakkan warna ungu jagung hilang sepenuhnya, orang ramai boleh menggunakan kaedah mengukus, berbanding merebus.
pix1
MENGENAI DAKWAAN
Tular dakwaan di media sosial bahawa jagung berwarna ungu yang dijual di pusat peranginan Cameron Highlands, Pahang adalah jagung tiruan.
Seorang individu memuat naik hantaran di Facebook mendakwa dia telah ditipu oleh peniaga di tanah tinggi itu kerana jagung berwarna ungu yang dibelinya luntur warna setelah direbus.
Wanita itu turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli jagung di Cameron Highlands.
Hantaran yang dimuat naik di kumpulan (group) HOMESTAY CAMERON HIGHLANDS MURAH itu bagaimanapun kini tidak dapat diakses, berkemungkinan telah dipadam.
pix2
APA YANG KAMI TEMUI
MyCheck bagaimanapun sempat menatal ruangan komen hantaran tersebut sebelum ia tidak dapat diakses.
Menjadi kelaziman untuk MyCheck membaca komen pada setiap hantaran tular, bukan hanya untuk mengetahui reaksi netizen, tetapi juga pendapat daripada mereka yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pengalaman masing-masing, yang boleh menjadi petunjuk kepada kami untuk membuat carian selanjutnya.
Netizen Dakwa Jagung Ungu Dicelup Pewarna
Berdasarkan komen, ramai netizen mendakwa jagung berwarna ungu itu sebenarnya telah dicelup dengan pewarna.
Kebanyakan mereka turut menyatakan bahawa pernah berdepan situasi sama apabila jagung ungu yang dibeli di tanah tinggi itu juga luntur warnanya.
pix3
Kongsi Pengalaman Tanam Jagung Ungu
Bagaimanapun ramai juga yang tampil menafikan dan berkongsi pengalaman sendiri menanam jagung berwarna ungu.
Mereka turut menjelaskan bahawa jagung ungu memang akan luntur warnanya apabila direbus dan ia bukanlah jagung tiruan.
pix4
Jagung Ungu Berasal Dari Peru, Ada Ditanam Di Malaysia
Seterusnya MyCheck membuat carian mengenai jagung ungu menerusi Google.
Kami menemukan artikel mengenai jagung ungu dilaporkan Kosmo pada 4 Jun 2024. Tangkap layar artikel itu turut disiarkan di portal Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Memetik artikel tersebut, jagung ungu atau dikenali sebagai Peruvian purple corn merupakan antara varieti jagung yang terdapat di pasaran dunia. Ia berasal dari Peru dan telah ditanam sejak lebih 100 tahun lepas.
Di Malaysia, tanaman jagung bukanlah sesuatu yang asing, namun belum ramai yang tahu mengenai varieti jagung berwarna ungu.
Keunikan jagung ungu telah mendorong Penolong Pegawai Pertanian UPM, Mohd Nazrul Anis untuk mengusahakan tanaman itu bermula 2023 di ladang UPM.
“Saya menanam jagung ungu ini kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu dan menghasilkan sesuatu yang sukar dijumpai di pasaran,” katanya.
Mohd Nazrul yang juga pempengaruh di TikTok dan aktif berkongsi pengetahuan dalam bidang pertanian berkata terdapat kandungan bernilai tambah dalam jagung ungu yang dikenali sebagai antosianin.
pix5
Antosianin Pewarna Semula Jadi
MyCheck kemudian mencari maklumat lanjut mengenai antosianin. Memetik hantaran Facebook Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, antosianin adalah pigmen semula jadi pada tumbuhan yang memberi warna biru, merah dan ungu.
Antosianin melindungi tisu tumbuhan daripada tekanan abiotik (air, tanah, udara, cahaya, suhu).
Menurut portal HeloMedik pula, antosianin yang diekstrak daripada tumbuhan juga digunakan sebagai pewarna, pewarna makanan semula jadi dan bahan tambahan makanan.
Antara buah-buahan yang tinggi dengan antosianin adalah mulberi, strawberi, ceri, raspberi, beri biru manakala sayuran pula antaranya terung, kubis ungu, bawang merah, keledek ungu, ubi bit dan jagung ungu.
Bukan Jagung Tiruan, Ada Yang Luntur dan Tidak Luntur
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai jagung ungu, MyCheck menghubungi Mohd Nazrul.
Menurut Mohd Nazrul, dakwaan bahawa jagung ungu yang luntur warnanya adalah jagung tiruan dicelup pewarna itu tidak benar.
Ini kerana katanya terdapat dua jenis jagung berwarna ungu dan jagung-jagung itu ada yang luntur dan tidak luntur warnanya.
“Berdasarkan pengalaman saya menanam pelbagai jenis jagung, jagung warna ungu ini ada dua iaitu jagung pulut dan jagung manis, serta ada dua jenis juga iaitu yang luntur dan tidak luntur warnanya.
“Di pasaran terdapat pelbagai jenis dan hibrid, warna jagung ini bergantung kepada jenis yang ditanam,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa adalah mustahil untuk meletakkan pewarna tiruan pada jagung yang mempunyai lapisan kulit di luarnya.
Mohd Nazrul juga pernah memuat naik satu video di akaun TikToknya, nazrulanis48 pada 24 April 2024 menunjukkan beliau merebus jagung ungu dan kelihatan jagung itu turut luntur warnanya.
pix6
Guna Kaedah Kukus Untuk Kekalkan Warna Ungu Jagung
Selain itu Mohd Nazrul turut berkongsi kaedah yang lebih sesuai untuk memasak jagung ungu iaitu dengan cara mengukus.
Namun, beliau berkata mengukus tidak bermakna warna jagung itu tidak luntur langsung.
“Mungkin warna yang luntur tidak banyak seperti direbus. Sifat antosianin itu sendiri adalah mudah larut dalam air. Ada sesetengah jagung, tahap lunturnya tinggi manakala ada juga tahap lunturnya rendah.
Ia bergantung kepada cara kita memasak jagung tersebut sama ada secara merebus atau mengukus”, jelas Mohd Nazrul kepada MyCheck.
KESIMPULAN
Berdasarkan semakan, jagung ungu yang dijual di Cameron Highlands bukanlah jagung tiruan yang dicelup pewarna.
Jagung ungu atau dikenali sebagai Peruvian purple corn itu merupakan antara varieti jagung yang terdapat di pasaran dunia. Ia berasal dari Peru dan telah ditanam sejak lebih 100 tahun lepas.
Menurut mereka yang ahli dalam bidang penanaman jagung, terdapat kandungan antosianin yang memberikan warna ungu pada jagung dan sifat antosianin adalah mudah larut dalam air yang menyebabkan warna ungu itu luntur setelah direbus.
Namun bagi mengelakkan warna jagung itu luntur dengan banyak, kaedah lebih sesuai untuk memasaknya adalah dengan mengukus jagung tersebut.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah