PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) bukan sekadar siri mesyuarat, sebaliknya platform strategik yang menghimpunkan menteri-menteri ASEAN untuk berbincang, menyelaras dan memperkukuh kerjasama serantau dalam membanteras ancaman jenayah yang semakin kompleks.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata AMMTC adalah landasan penting yang menunjukkan bahawa keselamatan dan kesejahteraan ASEAN hanya dapat dicapai dengan komitmen bersama yang konsisten.
“Keselamatan rakyat dan kestabilan serantau tidak boleh dipikul oleh satu negara sahaja, sebaliknya menuntut komitmen kolektif daripada semua anggota ASEAN.
“Sebagai tuan rumah, Malaysia bukan sahaja memperlihatkan kepimpinan dalam memperkukuh kerjasama serantau malah memastikan kepentingan serta suara rakyat terus diangkat dalam agenda keselamatan ASEAN,” katanya.
Beliau berkata jenayah seumpama itu bermula daripada jenayah rencam hingga kepada pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, keganasan dan ekstremisme sekali gus mendorong kepada jenayah narkotik, siber serta pengubahan wang haram.
Saifuddin Nasution berkata sejak kali pertama dianjurkan pada 1997, AMMTC menjadi nadi kerjasama ASEAN dalam menangani jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata AMMTC akan berlangsung di Melaka selama lima hari bermula 8 hingga 12 Sept ini, dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diberi amanah besar untuk mengendalikan mesyuarat itu sempena Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini.
Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kelestarian’, beliau berkata Malaysia bertekad memastikan hasil perbincangan bukan sekadar relevan tetapi berimpak langsung kepada kesejahteraan rakyat dan keselamatan rantau ini.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah