(meminda intro)
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan menetapkan sasaran meletakkan Malaysia pada kedudukan kesembilan dalam Indeks Keamanan Global (GPI) pada 2030 menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut dokumen RMK13 (2026-2030) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, negara telah mencapai kedudukan ke-13 dalam GPI pada 2025, berbanding kedudukan ke-19 pada 2023 dan meletakkan negara sebagai antara yang terselamat di rantau ini.
Bagi mencapai sasaran berkenaan kerajaan menggariskan empat strategi, iaitu meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam, memelihara kedaulatan negara, meningkatkan kesejahteraan anggota keselamatan dan menambah baik pengurusan serta pemulihan pesalah jenayah.
Antara usaha yang akan dijalankan menerusi strategi meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam ialah melaksanakan kerjasama strategik dalam kalangan pelbagai agensi penguat kuasa, pelaksanaan program pendidikan, advokasi dan kempen kesedaran awam mengenai risiko jenayah serta meningkatkan langkah perlindungan daripada jenayah siber.
"Peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan sebagai pusat sehenti akan diperkasakan dalam menangani penipuan kewangan dalam talian secara lebih berkesan manakala pengurusan krisis akan dimantapkan melalui penambahbaikan dasar dan prosedur operasi standard serta peningkatan kapasiti melalui latihan bersama oleh agensi keselamatan secara berkala dan menambah baik pengurusan aset oleh agensi keselamatan," menurut dokumen itu.
-- LAGI
RMK13-KESELAMATAN 2 KUALA LUMPUR
Di bawah strategi memelihara kedaulatan negara, kawalan sempadan negara akan dipertingkatkan melalui pengukuhan pos keselamatan di utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, serta pengoperasian sepenuhnya Agensi Kawalan dan Pemeriksaan Sempadan di semua pintu masuk negara.
"Proses imigresen akan ditambah baik melalui penggunaan AI (kecerdasan buatan), peranan semua agensi penguatkuasaan pula akan diselaraskan bagi meningkatkan keberkesanan usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia serta ancaman keselamatan di perairan negara," menurut dokumen itu.
Ekosistem industri pertahanan negara akan terus dibangunkan, dipacu oleh Dasar Industri Pertahanan Negara bagi meningkatkan penciptaan produk ‘Made by Malaysia’ bagi menjadikan negara lebih berdaya saing dan mandiri dalam bidang pertahanan.
Kawalan terhadap pendatang tanpa izin akan diperkukuh termasuk meningkatkan operasi penguatkuasaan, pengusiran serta menggunakan teknologi pemantauan secara meluas manakala sistem imigresen bersepadu sedia ada juga bakal akan terus diperkasakan.
Menerusi strategi meningkatkan kesejahteraan anggota keselamatan pula, kerajaan akan menyediakan kediaman, penjagaan kesihatan dan sokongan sosial yang lebih baik kepada anggota yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara.
-- LAGI
RMK13-KESELAMATAN 3 KUALA LUMPUR
Menurut dokumen itu, garis panduan bagi penyediaan kuarters akan dikaji semula bagi mengurangkan kos per unit tanpa menjejaskan kualiti dan kuantitinya, manakala kuarters sedia ada daripada perkhidmatan lain yang tidak didiami juga akan ditawarkan kepada anggota keselamatan bagi mengoptimumkan sumber.
"Selain itu, program Satu Anggota Satu Rumah akan diperluas untuk memberi peluang pemilikan rumah kepada lebih ramai anggota, termasuk pemberian 15 peratus kuota untuk pesara tentera, program bantuan sokongan sosial pula akan ditambah baik bagi memastikan kebajikan pesara tentera dan keluarga sentiasa terjaga termasuk latihan kemahiran di bawah TVET, keusahawanan dan pertanian moden," menurut dokumen itu.
Menerusi strategi pengurusan dan pemulihan pesalah jenayah, antara usaha yang akan dilaksanakan ialah menerapkan nilai kerohanian dan aspek manusiawi serta memberi peluang kedua banduan untuk kembali kepada masyarakat.
Kapasiti infrastruktur asas akan ditambah baik dengan membina baharu, menaik taraf dan memodenkan fasiliti penjara, manakala perlaksanaan hukuman alternatif melalui kerja komuniti dan program pemulihan dalam masyarakat akan diperluas melalui penggunaan teknologi terkini termasuk alat pemantauan elektronik.
"Depot tahanan imigresen akan ditambah baik bagi mengurangkan kesesakan, program pengusiran pendatang tanpa izin akan dipertingkatkan bagi mengurangkan kos operasi, isu ketagihan dadah dan bahan terlarang pula akan ditangani melalui penambahbaikan program pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan.
-- LAGI
RMK13-KESELAMATAN 4 (AKHIR) KUALA LUMPUR
“Sistem sokongan rehabilitasi kepada penagih akan diperkukuh bagi peluang kepada penagih untuk berhenti sepenuhnya, seterusnya kembali memberi sumbangan yang bermakna dalam masyarakat," menurut dokumen berkenaan.
Sementara itu, menurut dokumen berkenaan, dalam RMK12 usaha memperkukuh keselamatan dan pertahanan memberi tumpuan kepada pengukuhan undang-undang, permodenan aset serta kesiapsiagaan dan kesejahteraan anggota keselamatan.
“Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 pula telah diluluskan bagi mewujudkan Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan sebagai agensi penguatkuasaan tunggal di pintu masuk negara.
"Bagi mengukuhkan kawalan sempadan, sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukkan kepada pelbagai agensi untuk melaksanakan program dan projek di kawasan sempadan negara termasuk perolehan aset strategik seperti Light Combat Aircraft, Unmanned Aerial System dan Maritime Patrol Aircraft serta Littoral Mission Ship telah dan sedang dilaksanakan," menurut dokumen itu.
-- BERNAMA
TAG: RMK-13, keselamatan, pertahanan, AKPS, GPI, indeks jenayah
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah