Bahasa : BM | EN

FBM KLCI Hampir Tidak Berubah Pada Tengah Hari

29/07/2025 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia hampir tidak berubah ketika mengakhiri sesi dagangan pagi pada Selasa berikutan penjualan berterusan di kaunter wajaran tinggi terpilih didahului kaunter perladangan dan perkhidmatan kewangan serta penurunan di pasaran serantau.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.67 mata kepada 1,530.05 daripada 1,529.38 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 0.20 mata lebih tinggi kepada 1,529.58 dan bergerak antara 1,529.17 hingga 1,537.62 sepanjang sesi.

Bagaimanapun, sentimen pasaran secara keseluruhan kekal lemah, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 537 berbanding 288, manakala 456 kaunter tidak berubah, 1,240 kaunter tidak diniagakan dan 44 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 2.25 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.

Prestasi Bursa Malaysia menjejaki bursa serantau, dengan Hang Seng Hong Kong susut 0.95 peratus kepada 25,319.39, Indeks Straits Times Singapura turun 0.41 peratus kepada 4,223.90, dan Nikkei 225 Jepun menguncup 0.88 peratus kepada 40,637.48.

Bagaimanapun, Kospi Korea Selatan meningkat 0.42 peratus kepada 3,209.52.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan peserta pasaran mungkin mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ susulan prestasi Wall Street yang hambar dalam tempoh semalaman.

“Wall Street bergerak mendatar, walaupun perang perdagangan mereda, dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mengehadkan tarif pada 15 peratus,” tambahnya.

IOI Corporation susut 11 peratus kepada RM3.75, CIMB turun lima sen kepada RM6.70 dan Public Bank kurang dua sen kepada RM4.23, manakala Petronas Chemicals melonjak 17 sen kepada RM3.78 dan Press Metal Aluminium meningkat 13 sen kepada RM5.48.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing menambah dua sen kepada RM13.38 dan RM6.68, manakala Maybank kekal tidak berubah pada RM9.54.

Bagi kaunter aktif, Oxford Innotech yang baru disenaraikan di Pasaran ACE naik 9.5 sen kepada 38.5 sen, Zetrix AI meningkat 2.5 sen kepada 86 sen dan NexG kekal pada 53 sen, manakala Focus Dynamics susut setengah sen kepada 0.5 sen dan Ekovest turun 5.5 sen kepada 38.5 sen.

Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak 22 sen kepada RM19.50, Petronas Dagangan naik 18 sen kepada RM21.62 dan Hong Leong Bank meningkat 10 sen kepada RM19.24.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut 70 sen kepada RM87.30 dan Fraser and Neave turun 52 sen kepada RM28.48.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 4.64 mata kepada 11,467.56, Indeks FBMT 100 turun 0.49 mata kepada 11,231.96, dan Indeks FBM ACE merosot 22.86 mata kepada 4,613.74.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 9.99 mata kepada 11,500.03 dan Indeks FBM 70 naik 24.33 mata kepada 16,506.08.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.94 mata kepada 159.33, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 24.31 mata kepada 17,384.06, Indeks Tenaga turun 2.52 mata kepada 738.27, dan Indeks Perladangan berkurangan 58.52 mata kepada 7,404.71.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami