SHAH ALAM, 26 Julai (Bernama) -- Sebanyak 240 murid daripada 12 sekolah rendah di sekitar Shah Alam menyertai Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh kesedaran keselamatan digital dalam kalangan murid.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata negeri ini amat memerlukan program sedemikian memandangkan ia antara yang mempunyai liputan serta infrastruktur Internet terbaik dalam negara.
"Antara permasalahan yang MCMC dapat kesan adalah penggunaan akaun media sosial yang sepatutnya tidak boleh digunakan oleh kanak-kanak di bawah usia 13 tahun. Kita tahu ada antara mereka yang masih kecil sudah ada banyak akaun.
"Paling penting adalah soal kesedaran dan pendidikan termasuk kawalan yang boleh dibuat. Kempen memupuk kesedaran seperti hari ini satu perkara yang baik bagi tangani isu-isu berkaitan," katanya kepada pemberita selepas melawat pameran Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Selangor 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9 di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Bukhari Yahya.
Kempen itu turut berlangsung di SK Seksyen 6, 7, 13, 17, 18, 19, 20, SK Shah Alam, SK Kota Kemuning, SK Padang Jawa dan SK Bandar Anggerik di bawah kendalian 24 guru menerusi sesi interaktif menggunakan Modul Kempen Internet Selamat bagi Tahap 1 dan Tahap 2.
Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi menyasarkan 900 sekolah di seluruh Selangor akan menyertai kempen itu menjelang tahun depan, dengan pihaknya sedang meneliti keperluan kempen berkenaan dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), ibu bapa dan warga emas.
"Saya ada meneliti modul-modul yang dibawakan oleh MCMC dan melihat kepada penggunaan Internet yang selamat di tempat awam seperti masjid. Kita ada lebih 40 masjid dan Internet di situ biasanya digunakan oleh warga emas.
"Oleh itu, kita perlu hasilkan beberapa ciri bagi mengelakkan mereka terbabit dengan scam ataupun melihat perkara yang tidak sepatutnya. Cuma buat masa ini kita akan fokus kepada sekolah terlebih dahulu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur & Komunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran berkata setakat ini kempen itu telah dianjurkan di lebih 400 sekolah dan dua IPT di seluruh negara membabitkan 1,099 pelatih Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Beliau berkata program Training of Trainers (TOT) telah pun dilancarkan kementerian bagi menambah bilangan pelatih sekali gus mambantu kempen berkenaan mencapai sasaran 10,000 sekolah di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
"Kita juga telah mobilisasikan pelajar IPT sebagai pelatih, mereka juga akan turun ke sekolah-sekolah berdekatan mereka. Selepas ini kita akan lihat lebih banyak sekolah akan dapat didedahkan dengan Kempen Internet Selamat.
"Bagaimanapun, setiap kali kempen dianjurkan kita komited dengan matlamat memberikan kesedaran untuk murid sekolah rendah katakan tidak kepada media sosial, manakala pelajar sekolah menengah dan IPT supaya menggunakan media sosial dengan lebih bertanggungjawab," katanya.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah