Bahasa : 🇲🇾 | 🇬🇧

Wanita warga Indonesia jadi buruh paksa diselamatkan

25/09/2021 01:40 PM

PUTRAJAYA, 25 Sept -- Seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dijadikan buruh paksa oleh majikannya diselamatkan dalam satu operasi di Ayer Tawar, Perak pada Khamis lepas.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan memaklumkan operasi menyelamat bersepadu oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pasukan Tindakan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dan polis itu dilakukan susulan aduan serta maklumat pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada 20 Sept.

Menurut KSM, majikan dipercayai mengeksploitasi mangsa dengan ugutan yang beliau bukan pekerja sah dan sering kali memarahi mangsa sekiranya ingin kembali ke negara asal.

“Mangsa pernah dikasari secara fizikal iaitu disepak pada bahagian muka apabila mangsa meminta baki gaji yang tertunggak,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

KSM memaklumkan wanita berkenaan masuk ke Malaysia secara sah dengan permit kerja sebagai pembantu rumah pada Jun 2003 melalui seorang ejen yang dikenalinya.

Selepas mendapat pekerjaan, gaji mangsa telah dipotong RM350 sebulan selama empat bulan sebagai kos bayaran kepada ejen tersebut.

“Mangsa tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung perkara ini kerana menyerahkan semuanya kepada ejen dan beliau mengakui tiada sebarang kontrak perjanjian bertulis dibuat berhubung proses penggajian termasuklah bayaran kepada ejen berkenaan,” katanya.

Menurut KSM, siasatan awal menunjukkan mangsa yang telah tamat tempoh sah permit pada Jun 2020, diklasifikasikan sebagai buruh paksa berdasarkan beberapa indikator antaranya gaji mangsa tidak dibayar untuk tempoh tiga tahun dari 2018 hingga 2021 berjumlah kira-kira RM25,000.

Berdasarkan situasi yang dihadapi mangsa, indikator menunjukkan bahawa majikan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, menurut KSM.

KSM memaklumkan mangsa yang masih trauma ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah di Damansara selepas mangsa diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) oleh Mahkamah Majistret Sri Manjung pada hari sama beliau diselamatkan.

IPO tersebut adalah untuk tempoh 21 hari iaitu hingga 13 Okt ini bagi melengkapkan satu kertas siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 yang dikendalikan oleh JTK dan kertas siasatan itu akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan.

“Ini (operasi yang dijalankan) jelas menunjukkan bahawa negara tidak akan sesekali berkompromi dalam isu buruh paksa tanpa mengira kewarganegaraan pekerja terbabit,” katanya.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 122858

Kategori

Mengenai MAPO
Maklumat Penting
NAPTIP
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami