SUNGAI PETANI, 13 Jan -- Seorang penjawat awam bersama seorang pengusaha ladang ditahan polis, kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan migran ketika dalam sekatan jalan raya (SJR) bagi mengekang penularan COVID-19, di Tol Gurun dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata, polis menahan penjawat awam lelaki berusia 37 tahun itu semasa bersama empat warga Indonesia, termasuk seorang wanita berumur 33 hingga 37 tahun selepas mendapati kereta dinaiki mereka dalam keadaan mencurigakan, pada 1.15 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut pihak polis terhadap kereta dipandu penjawat awam ini mendapati, empat warga asing tersebut gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri dan kesemua warga asing ini juga ditahan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Adzli berkata 30 minit kemudian, pengusaha ladang yang merupakan lelaki berumur 44 tahun tampil di lokasi SJR itu, mendakwa mengupah penjawat awam berkenaan untuk membawa kesemua warga asing tersebut dari Kuala Lumpur ke Kedah, sebelum polis turut menahan pengusaha ladang terbabit.
Beliau berkata berdasarkan siasatan polis pengusaha ladang itu disyaki membuat persetujuan melalui telefon, dengan salah seorang warga asing itu untuk datang bekerja di ladangnya dengan gaji harian sebanyak RM45 hingga RM50, berikutan pekerjanya sebelum ini telah berhenti.
“Kemudian, warga asing tersebut memanggil tiga lagi rakannya itu untuk bersamanya datang ke Sik, bekerja dengan pengusaha ladang berkenaan,” katanya yang turut memberitahu pengusaha ladang itu menanam pelbagai sayuran di ladangnya, selain menternak kambing dan juga ikan.
Katanya pengusaha ladang itu dipercayai bersetuju membayar upah sebanyak RM1,000, kepada penjawat awam yang menjalankan kerja sambilan sewa kereta tanpa lesen itu, bagi membawa kesemua warga asing berkenaan.
“Pengusaha ladang ini membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM200 kepada penjawat awam tersebut, dengan cara atas talian dan bakinya akan bayar apabila mereka sampai di Sik,” katanya.
Adzli berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 11 (5) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah