Bahasa : BM | EN

Tiga beradik antara empat didakwa eksploitasi 35 wanita warga asing

21/12/2020 01:50 PM

MELAKA, 21 Dis -- Seorang wanita dan dua adik perempuannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 35 pertuduhan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja, membabitkan 35 wanita warga asing, kira-kira seminggu lalu.

Ee Hwei Ping, 38 serta dua adiknya Hwei Ting, 34 dan  Hwei Shan, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. 

Menurut pertuduhan, ketiga-tiga mereka yang merupakan pemilik agensi perkhidmatan pembersihan, dalam mencapai niat bersama didakwa memperdagangkan 32 wanita Indonesia dan tiga wanita Kemboja, berusia 18 hingga 40 tahun, di lima buah rumah di sekitar Melaka pada 12 Nov lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Turut didakwa di mahkamah sama, suami kepada Hwei Shan iaitu Koh Chee Pin, 38,  yang mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan bersubahat bersama tiga beradik itu dengan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja di lima rumah di sekitar Melaka, juga pada tarikh sama.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 12 ATIPSOM yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin RM40,000 seorang dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah, serta menetapkan 15 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Faiezad Razali.

-- BERNAMA

 

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami