Wanita warga Indonesia ditahan cuba rentas negeri dengan menyorok dalam bonet kereta

12/05/2021 06:01 PM

ALOR GAJAH, 12 Mei  -- Tindakan nekad seorang wanita warga Indonesia tanpa dokumen yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan merentas negeri tanpa kebenaran, untuk berjumpa dengan suaminya di Rembia di sini dengan menyorok di dalam bonet kereta, berjaya dikesan polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata, wanita berusia 23 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki yang merupakan pemandu kenderaan ‘e-hailing’ berusia 27 tahun yang beralamat di Seremban, dalam satu kejadian kira-kira pukul 2.30 petang di Plaza Tol Simpang Ampat di sini.

“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan sebelum itu berada di tempat duduk belakang kenderaan yang ditumpanginya, dan bertindak masuk ke dalam bonet kenderaan itu beberapa meter sebelum sampai ke sekatan jalan raya di plaza tol berkenaan.

“Wanita berkenaan ditemukan di dalam bonet kereta tersebut dalam keadaan berbaring ketika pemeriksaan anggota keselamatan di sekatan jalan raya plaza tol tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita berkenaan nekad mengambil tindakan sedemikian, selepas setahun tidak bertemu dengan suaminya.

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah, Seksyen 56(1)(D) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa dokumen yang sah, dan Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

-- BERNAMA

 

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami