KPWKM rangka lima inisiatif baharu lindungi mangsa pemerdagangan orang

11/05/2021 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei  -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merangka lima inisiatif baharu untuk dilaksanakan tahun ini bagi melindungi dan menjaga kebajikan mangsa pemerdagangan orang.

Penolong Setiausaha Unit Dasar Wanita dan Gender, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPWKM Ajanis Ba’i berkata lima inisiatif berkenaan meliputi mewujudkan modul latihan untuk pegawai pelindung, mewujudkan modul intervensi di rumah perlindungan serta meningkatkan perkhidmatan komunikasi mangsa dan keluarga.

"Inisiatif lain termasuk membenarkan ibu dan anak yang diselamatkan bersama ditempatkan di rumah perlindungan yang sama berbanding sebelum ini hanya kanak-kanak bawah 12 tahun sahaja ditempatkan bersama ibu di rumah perlindungan yang sama.

"Selain itu, sedang dalam perancangan untuk mewujudkan rumah perlindungan di zon Sarawak," katanya ketika menjadi tetamu segmen Bual Bicara - Inisiatif dan Dasar KPWKM Dalam Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang terbitan Bernama Radio di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan daripada pelbagai inisiatif dan hala tuju dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh KPWKM yang mengetuai Jawatankuasa Penjagaan dan Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang (JPPMPO) dalam Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO).

Menurutnya, pada tahun lepas antara inisiatif yang dilaksanakan ialah menyelaraskan garis panduan berkaitan perlindungan dengan penguatkuasaan, membenarkan mangsa yang ditempatkan di rumah perlindungan memakai pakaian mereka sendiri dan mengasingkan mangsa mengikut Perintah Perlindungan Interim dan Perintah Perlindungan di rumah perlindungan berasingan.

Dalam membantu mangsa pemerdagangan orang, Ajanis berkata KPWKM sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik dengan berpaksikan kepada pendekatan berpusatkan mangsa yang menekankan keperluan dan kesejahteraan mangsa serta pendekatan kesedaran trauma yang mengambil kira keadaan psikologi dan emosi mangsa.

"Secara ringkasnya ia mengambil kira keselamatan, kebolehpercayaan dan ketelusan, sokongan, pemerkasaan dan pilihan serta budaya yang menekankan persetujuan dengan mangsa. Apa juga perkara berkaitan dengan mangsa hendaklah dalam pengetahuan dan persetujuan mangsa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga menyediakan beberapa perkhidmatan dan program intervensi kepada mangsa pemerdagangan orang antaranya perkhidmatan kesihatan dan rawatan secara percuma, perkhidmatan kaunseling, urusan perundangan dan mahkamah serta kebenaran bekerja bagi mereka yang melepasi syarat-syarat yang ditetapkan.

Selain itu, katanya KPWKM turut bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melindungi dan menjaga kebajikan mangsa pemerdagangan orang melibatkan program perkhidmatan perubatan, kaunseling dan jurubahasa.

"Saya ingin menegaskan bahawa jenayah pemerdagangan orang ini adalah isu yang merentas tanggungjawab pelbagai pihak, baik kerajaan, swasta, NGO mahupun sesiapa sahaja di luar sana. Justeru, konsep whole of nation, whole of government and whole of society, perlu dihayati bersama-sama.

"Bagi pihak KPWKM, kami amat komited dengan hal ehwal penjagaan dan perlindungan mangsa pemerdagangan orang kerana ia melibatkan usaha yang terpuji dalam memelihara kebajikan mangsa dan memastikan negara kita juga dilihat efisien dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami