Pos gabungan akan dibina di Pulau Ketam, cegah kemasukan pendatang tanpa izin, penyeludupan

28/04/2021 05:18 PM

PELABUHAN KLANG, 28 April -- Satu pos gabungan keselamatan akan dibina di Pulau Ketam, di sini, untuk dijadikan pangkalan agensi keselamatan melakukan tugasan dan rondaan mencegah kemasukan pendatang tanpa izin serta kegiatan penyeludupan dengan lebih berkesan.

Penolong Pengarah Pengoperasian Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Supt Ahmad Radzi Hussain berkata pembinaan pos gabungan itu telah mendapat kelulusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sidang Majlis Keselamatan Negara, baru-baru ini.

“Walaupun Pulau Ketam ini merupakan kawasan paya bakau, pihak Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Navy (Tentera Laut Diraja Malaysia) sentiasa melakukan rondaan bagi mencegah kemasukan pendatang tanpa izin.

Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.4 juta untuk membina ‘floating barge’ (barj apung) Pulau Ketam yang mana ia akan dijadikan pusat untuk agensi keselamatan bertugas dan rondaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata ketika ini, pihaknya sedang dalam proses untuk mendapatkan konsep pelan pembinaan dari segi spesifikasi pos yang bakal dibina.

Katanya lagi, pos gabungan keselamatan dijangka boleh memuatkan satu platun iaitu kira-kira 30 hingga 40 orang pegawai dan anggota.

“Jadi ia akan jadi satu pusat dan juga satu markas taktikal untuk semua agensi keselamatan yang beroperasi di Pulau Ketam ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang agar pos gabungan keselamatan berkenaan dibina di perairan Pulau Lima yang menjadi pintu masuk ke Pulau Ketam.

-- BERNAMA  

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami