Hukuman sebatan, penjara dalam ATIPSOM 2007 akan dipinda

10/04/2021 12:53 AM

KUALA LUMPUR, 9 April  -- Memasukkan hukuman sebatan serta tempoh penjara melebihi 20 tahun terhadap anggota sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, merupakan antara cadangan bagi pindaan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Ketika ini hukuman ATIPSOM 2007 jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Risikan/Operasi Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Supt Cha Hoong Fong berkata, pindaan berhubung hukuman terbabit sedang dalam proses mendapatkan kelulusan di peringkat Parlimen.

“Perkara ini telah dibincangkan bersama Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), bagi melihat kepada hukuman lebih tegas terhadap mereka (sindiket).

“Jadi perkara ini dalam proses pindaan dan masih menunggu untuk ia diluluskan,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Cha berkata hukuman terbabit dalam masa sama sebagai usaha membanteras kegiatan sindiket terbabit yang menjadikan negara ini sebagai tumpuan menjalankan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Beliau berkata pihak polis dalam masa sama telah menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) ke atas anggota sindiket terbabit, sebagai usaha pembanterasan berterusan.

“Kami telah mula gunakannya pada 2019 untuk menangani jenayah ini, di mana ia memberi kesan yang ketara kepada mereka kerana ia tertakluk di bawah jenayah terancang, selain mampu melumpuhkan sindiket terbabit,” katanya.

Beliau berkata menerusi SOSMA, ahli sindiket akan melalui tempoh penahanan yang lebih lama untuk disiasat.

“Sebanyak enam sindiket pemerdagangan dan penyeludupan migran berjaya dilumpuhkan pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 146 kes melibatkan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran direkodkan tahun lepas berbanding pada tahun 2019 dengan 272 kes, menandakan keberkesanan penguatkuasaan oleh Polis berhubung jenayah terbabit.

-- BERNAMA

 

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami