PGA tahan 40 pendatang tanpa izin di Pasir Mas dan Kota Bharu

21/03/2021 01:30 PM

KOTA BHARU, 21 Mac -- Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menahan seramai 40 pendatang tanpa izin warga Thailand berumur antara dua tahun hingga 40-an dalam penugasan Op Benteng, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata kesemua mereka ditahan dalam dua operasi berasingan di Pasir Mas dan Kota Bharu hasil risikan dan maklumat awam.

"Dalam operasi pertama yang dilakukan pada 3.28 pagi, anggota telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Dangar, Pasir Mas. Ketika serbuan, terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan rumah itu.

"Pemeriksaan mendapati ada seorang lelaki tempatan iaitu pemandu kenderaan terbabit serta dua lelaki dan dua wanita warga Thailand yang didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan disyaki masuk ke sini secara haram," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nor Azizan berkata operasi kedua dilakukan pada 7 pagi di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu. 

"Anggota pasukan telah mengesan sebuah bas yang mencurigakan. Hasil pemeriksaan seramai 36 lagi pendatang tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan di dalam bas tersebut.

"Dalam serbuan itu juga pihaknya turut menahan tiga lagi lelaki tempatan masing-masing dua pemandu bas dan seorang disyaki tekong yang berada di dalam sebuah Toyota Innova berhampiran bas itu yang mencurigakan,” katanya.

Nor Azizan berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal PGA Taman Bakti, Pasir Mas untuk proses dokumentasi.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Dalam dua kejadian ini kita turut merampas tiga kenderaan dan semua telefon bimbit yang dianggarkan bernilai lebih RM600,000,” katanya.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami