Eksploitasi pembantu rumah, dua beranak mengaku tidak bersalah

19/03/2021 03:10 PM

BUTTERWORTH, 19 Mac -- Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagang seorang pembantu rumah warga Kemboja dengan cara kekerasan pada Februari lepas.

Tertuduh Teoh Beng Sim, 57, dan anaknya Teh Hooi Fung, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, dua beranak itu didakwa memperdagangkan Soy Rom, 27, bagi maksud eksploitasi pengabdian dengan cara kekerasan dan kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Perpaduan Kampung Baru, Bukit Mertajam pada 10.45 malam, 24 Feb lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Supramaniam Kasia Pillai.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan namun Supramaniam memohon Mahkamah membenarkan anak guamannya diikat jamin kerana mereka telah memberikan kerjasama dalam siasat kes ini.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis berhampiran setia bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 19 April depan untuk sebutan semula kes.'

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami