16 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu

04/03/2021 07:45 PM

MELAKA, 4 Mac  -- Enam belas warga asing ditahan dalam satu operasi bersepadu di sekitar Semabok, di sini hari ini, kata Timbalan Pengarah Imigresen Melaka, K Vishnutharan.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua warga Bangladesh, Indonesia (empat), Nepal (satu), India (satu), dan Myanmar (lapan) berusia antara 25 hingga  45 tahun dalam serbuan di Jalan Pulau Senang dan Jalan Bunga Raya bermula 12 tengah malam tadi.

Dalam serbuan di dua lokasi yang disyaki menjadi kawasan penempatan warga asing di negeri ini, beliau berkata mereka yang ditahan adalah antara 145 warga asing yang diperiksa termasuk 28 kanak-kanak berusia tiga bulan hingga lima tahun.

“Hanya 16 warga asing terdiri daripada 10 lelaki dan enam wanita ditahan kerana dikenal pasti melakukan pelbagai kesalahan (imigresen) antaranya tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan memiliki dokumen atau pas disyaki palsu manakala baki yang diperiksa dibebaskan kerana merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).

Semua warga asing yang ditahan dibawa ke pusat kesihatan daerah bagi menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Machap Umboo untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan terdapat segelintir warga asing yang berada di kawasan terbabit  cuba melarikan diri namun berjaya ditahan anggota penguat kuasa dan terdapat premis yang terpaksa dipecahkan kerana tidak mendapat kerjasama daripada penghuni.

Katanya siasatan lanjut mendapati penempatan warga asing di dua lokasi berkenaan wujud sejak beberapa tahun lepas dan setiap unit kediaman berkenaan disewa pada kadar RM250 hingga RM300 sebulan.

Vishnutharan berkata operasi bersepadu melibatkan 118 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi penguat kuasa antaranya Majlis Keselamatan Negara, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk mengesan dan membanteras kebanjiran warga asing khususnya pendatang tanpa izin.

-- BERNAMA  

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami