ESSCom tahan lapan pendatang haram di Tawau

05/02/2021 04:48 PM

TAWAU, 5 Feb -- Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan lapan pendatang haram warga Indonesia di kawasan Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Jalan Apas di sini, malam tadi.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata suspek terdiri daripada tiga lelaki, tiga wanita serta dua kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan perempuan kesemuanya berumur antara enam hingga 47 tahun, ditahan di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux pada 10.30 malam.

"Sepasukan anggota keselamatan melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), tentera serta ESSCom yang melakukan tugas rondaan Op Cegah Pati (OCP) Daratan menerima maklumat mengenai kenderaan dalam keadaan mencurigakan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua tahanan di dalam kenderaan itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah, seterusnya ditahan polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Ahmad Fuad dalam pada itu, mengulangi gesaan kepada komuniti maritim di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) agar memberi kerjasama termasuk menyalurkan maklumat penting terutama penyeludupan melalui laluan tikus, dengan menghubungi Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181.

Katanya, komuniti ESSZone juga diingatkan supaya tidak bersubahat atau melindungi pihak penyeludup kerana tindakan tegas akan dikenakan jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

x

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan