PKP: Kes seludup dadah, pendatang asing di sempadan turun - Polis Kelantan

02/02/2021 01:10 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman dan Zabidi Ishar

KOTA BHARU, 2 Feb -- Statistik kes penyeludupan dadah dan kemasukan pendatang tanpa izin melalui sempadan Kelantan-Thailand pada 2020 menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Beliau berkata penurunan dari segi tangkapan dan rampasan itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas, termasuk penutupan pintu sempadan bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.

“Kalau sebelum PKP, mereka (penyeludup dadah dan pendatang tanpa izin) bebas bergerak tetapi dalam tempoh PKP dengan banyak sekatan jalan raya (SJR) beroperasi di seluruh negara menyebabkan pergerakan mereka cukup terhad,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Memperincikan statistik sindiket penyeludupan dadah, Shafien berkata sebanyak 10,905 kes dengan nilai rampasan RM52 juta membabitkan tangkapan seramai 13,852 individu direkodkan pada tahun lepas.

Bagi 2019 pula katanya, sebanyak 12,819 kes penyeludupan dadah dicatatkan melibatkan nilai rampasan RM94 juta manakala tangkapan seramai 15,531 individu.

“Sebanyak 97 peratus tangkapan membabitkan orang Melayu dan lebih menyedihkan ia melibatkan juga golongan remaja lelaki. Umur antara 25 hingga 29 tahun adalah kumpulan paling tinggi ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan dadah.

“Bagi penglibatan wanita pula tidak begitu tinggi, kira-kira 10 peratus, cuma kebanyakan mereka terbabit dalam kegiatan ini kerana menjadi sampingan kepada teman lelaki mereka,” katanya ketika ditanya kategori umur dan jumlah pembabitan lelaki serta wanita dalam kes penyeludupan dadah di Kelantan.

Sementara itu, mengenai tangkapan pendatang asing, Shafien berkata menerusi Op Benteng di Kelantan, seramai 1,880 orang ditahan pada 2020 sekali gus menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya iaitu 3,990 orang.

“Menerusi tangkapan di sempadan Kelantan-Thailand sahaja, seramai 471 orang ditahan pada tahun lepas berbanding 782 orang pada 2019. Mereka yang paling ramai ditahan ini terdiri daripada rakyat Myanmar, diikuti Thailand, Bangladesh, Indonesia, Vietnam dan Kemboja,” katanya.

Mengulas penambahbaikan yang akan dilakukan Polis Kontinjen Kelantan, Shafien berkata pihaknya sedang mengemukakan permohonan kepada Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menambah penggunaan dron di pos kawalan sempadan Kelantan-Thailand.

Beliau berkata penggunaan teknologi itu cukup berkesan bagi memantau pergerakan berkaitan jenayah rentas sempadan sekali gus memudahkan tugas pasukan keselamatan mematahkan apa jua sindiket.

“Dron yang sedia ada bagi pasukan (polis) Kelantan agak terhad dan saya melihat peralatan ini amat diperlukan untuk pantau keadaan sekeliling dan pergerakan penyeludup di kawasan sempadan. Mungkin juga akan ditubuhkan satu unit khas dron di Kelantan,” katanya.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami