Suami isteri didakwa perdagang, cedera amah warga Indonesia

29/01/2021 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan -- Sepasang suami isteri dihadapkan ke empat Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan memperdagangkan dan mencederakan seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan menggunakan air panas, November tahun lepas.

Lim Tuan Ann, 42, peniaga besi buruk dan isterinya, Lim Siew Lan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin, Mahyon Taib, Izralizam Sanusi dan Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Di hadapan Suzana, Tuan Ann didakwa memperdagangkan mangsa yang berusia 26 tahun bagi maksud eksploitasi pengabdian di rumahnya di Taman Batu, Sentul di sini, pada 24 Nov tahun lepas.

Tuan Ann didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sementara itu Siew Lan dituduh atas lima pertuduhan iaitu satu pertuduhan melakukan kesalahan serupa dengan Tuan Ann, menggunakan kekerasan di lokasi dan tarikh sama mengikut Seksyen 13 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi empat lagi pertuduhan di hadapan Mahyon, Izralizam dan Emilia Kaswati, Siew Lan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa antaranya dengan menggunakan air panas di lokasi sama antara 1 Ogos dan 13 Nov tahun lepas.

Keempat-empat pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman masing-masing penjara maksimum tujuh dan 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Tuan Ann diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi satu pertuduhannya manakala Siew Lan diikat jamin RM48,000 dengan dua penjamin bagi kelima-kelima pertuduhan selain mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Feb untuk sebutan semula bagi semua kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli dan Mohamad Sharizzat Amadan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Sivaraj Retinasekharan.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami