Op Benteng: Hanya 39 pendatang tanpa izin ditahan tahun lepas di Melaka

21/01/2021 10:22 PM

ALOR GAJAH, 21 Jan  -- Kemasukan pendatang tanpa izin ke Malaysia menerusi pesisir pantai Melaka berkurangan kepada 39 orang sepanjang 2020 selepas pelaksanaan Op Benteng bermula Mei tahun lepas berbanding 89 orang sepanjang 2019.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata Op Benteng dilaksanakan secara bersepadu di sepanjang pantai di Kuala Linggi hingga Sungai Rambai dan sekatan jalan raya Kuala Linggi hingga Merlimau secara 24 jam.

Beliau berkata sebanyak 256 anggota keselamatan membabitkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen, Jabatan Laut dan Jabatan Kesihatan terlibat dalam operasi berkenaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dan penularan COVID-19.

"Pelaksanaan Op Benteng berkenaan dilihat berkesan mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dan pemantauan melibatkan kawasan laut, pesisir pantai dan darat. Anggota keselamatan terlibat sentiasa berganding bahu dan bertukar maklumat untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kebanyakan pendatang tanpa izin cuba memasuki negara ini pada waktu malam dan kebanyakan mereka ditahan di perairan Kuala Linggi yang menjadi sasaran laluan mereka berikutan jaraknya dengan negara jiran lebih kurang 74 kilometer," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Turun Padang Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Marin Kuala Linggi di sini, hari ini.

Pada program itu, Mohd Ali turut menyampaikan sumbangan kit makanan kepada barisan hadapan yang bertugas dalam sekatan jalan raya sebagai tanda penghargaan kepada pengorbanan mereka dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Mengulas lanjut, Shahrul Lalli berkata lebih banyak pos pemantau akan didirikan di sepanjang pesisir pantai di negeri ini agar pemantauan yang lebih berkesan dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dapat dilakukan.

Beliau berkata pemantauan lebih ketat di jeti nelayan khususnya yang didirikan secara tidak sah juga akan dipertingkatkan kerana ia dikesan menjadi tempat pendaratan bot yang membawa pendatang tanpa izin.

Katanya secara keseluruhan, terdapat 10 jeti nelayan yang didirikan secara sah di sepanjang pantai negeri ini manakala kira-kira tujuh lagi dikesan didirikan secara tidak sah dan disalah guna untuk aktiviti melanggar undang-undang negara.

“Justeru, orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tentang aktiviti yang mencurigakan terutamanya membabitkan kemasukan barang seludup dan pendatang tanpa izin agar tindakan proaktif dapat dilakukan,” katanya.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami