Rasuah dalam kalangan penjawat awam cemar nama institusi kerajaan

17/01/2021 08:11 AM

Oleh Norshazlina Nor Azman

KUALA LUMPUR, 17 Jan -- Bak peribahasa 'seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit', itulah ibarat bagaimana budaya rasuah dan salah laku segelintir penjawat awam, mencemarkan dan merosakkan imej institusi kerajaan.

Bahkan, apabila tajuk berita mengenai penangkapan penjawat awam sering terpampang di dada-dada akhbar, ia menguatkan lagi stereotaip bahawa penjawat awam banyak 'makan suap', menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi Institut Integriti Malaysia (IIM) Hamilye Sham Harun.

Beliau berkata meskipun hakikatnya angka penjawat awam yang terlibat dalam ketirisan itu dilihat kecil berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam di dalam negara, namun impak yang diberikan cukup besar dan perlu dicegah sebelum parah.

“Statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini merekodkan 46.3 peratus dari 4,860 individu yang ditahan dari 2014 hingga Jun 2019 kerana kesalahan rasuah adalah penjawat awam, angka ini kalau nak dibandingkan dengan jumlah penjawat awam, ia memang nampak kecil.

“Tetapi hakikatnya, dalam 1.6 juta penjawat awam ini, walau satu orang sahaja melakukan rasuah, kita tetap perlu bimbang juga, malah membimbangkan lagi kekerapan rasuah sentiasa terjadi, buktinya ada sahaja berita penjawat awam dari pelbagai agensi ditahan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hamilye berkata, impak terhadap kegiatan rasuah penjawat awam memberi pelbagai kesan buruk yang tidak boleh dinilai dari bentuk wang ringgit, termasuklah boleh menjejaskan imej kerajaan selain reputasi keselamatan negara.

“Contohnya melepaskan pendatang asing tanpa dokumen masuk ke dalam negara oleh agensi yang berkaitan, kita boleh tengok kesannya termasuklah jenayah sosial dan ini boleh menjejaskan reputasi keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata terdapat tiga sektor ‘rapuh’ yang perlu diberi tumpuan, iaitu yang terlibat dengan perolehan, penguatkuasaan dan perlesenan, bagi memastikan jenayah rasuah tidak menjadi barah.

“Ketua jabatan setiap agensi contohnya Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pegawai Eksekutif dan sebagainya perlu memastikan pembangunan Pelan Anti Rasuah (PAR), selain mengambil tindakan segera terhadap jenayah-jenayah yang berlaku.

“Manakala stigma dalam kalangan penjawat awam yang tidak mahu melaporkan sebarang kegiatan rasuah, sepatutnya tidak wujud lagi kerana identiti mereka akan dirahsiakan, keselamatan dijaga, malah insentif juga diberikan,” katanya sambil menambah, terdapat banyak lagi kementerian, jabatan dan agensi korporat yang masih lagi belum membangunkan PAR masing masing.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat menggesa, penjawat awam agar tidak takut membuat laporan berkenaan rasuah, meskipun perasuah atau penerima rasuah itu adalah ketua jabatan masing-masing.

Seperti mana seruan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, yang baru-baru ini meminta penjawat awam agar mengamalkan sikap 'jaga tepi kain orang', katanya rasuah dalam kalangan warganya akan dapat ditangani jika seseorang itu tidak takut untuk membuat laporan.

“Sebelum ini penjawat awam ada masalah untuk membuat laporan kerana kadang kala orang yang kita laporkan itu adalah ketua kita, yang akhirnya kita pula dianggap bersalah kerana menjejaskan imej, mencalarkan imej jabatan kerana membuat laporan. 

"Yang melapor ini kemudiannya ditukar, diberi kerja yang bukan kerja asal, ditukar skop kerja atau 'disejukbekukan' kerana membuat laporan, jadi jaminan dan saranan KPPA itu amat kita sambut baik kerana kita mahu banteras terus gejala rasuah dari bermaharajalela, dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Mengulas mengenai kebimbangan SPRM dengan masalah rasuah dalam kalangan penjawat awam, beliau berkata gejala itu belum sampai ke tahap ‘bimbang sepenuhnya' memandangkan hanya 0.15 peratus penjawat awam yang terlibat dengan salah laku tersebut.

“Itu pun keterlibatan mereka masih di dalam peringkat siasatan, belum ada di peringkat menjatuh hukuman, walaupun begitu, kewujudan rasuah itu tidak sepatutnya berlaku sebab penjawat awam dilantik bukan untuk terima rasuah, tetapi untuk menjalankan perkhidmatan untuk negara dan rakyat,” katanya.

Adnan berkata ada juga penjawat awam yang terlibat dalam penguatkuasakan peraturan dan undang-undang, dijadikan sasaran dan diburu untuk diberikan rasuah oleh individu yang mahukan jalan pintas, dan pemburu ini juga wajar diheret dan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIM Nor'afiza Saim berkata, tahap rasuah dan salah guna kuasa yang membimbangkan itu bukan sahaja dalam kalangan kakitangan awam, malah juga dalam kalangan sektor swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) dan anak-anak syarikat kerajaan.

“Perkara ini sudah berada di satu tahap yang kritikal dan perlu tindakan drastik dari semua Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi dan Ketua Jabatan organisasi, memandangkan mereka adalah bertanggungjawab untuk memastikan organisasi ditadbir urus dengan baik dan mewujudkan budaya integriti yang tinggi.

“Tanggungjawab untuk mengubah budaya terletak di bahu ketua setiap organisasi, seperti mana ditekankan di dalam kod, standard, pelan dan inisiatif yang telah dikeluarkan kerajaan dan juga badan antarabangsa, termasuklah Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP), Kod dan Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) dan Sistem Pengurusan Anti-rasuah menurut standard antarabangsa ISO 37001,” katanya.

Nor’afiza berkata, sekiranya organisasi melaksanakan inisiatif, standard atau kod, yang telah sedia ada tersebut dengan penuh komitmen, institut itu percaya ia juga akan membantu pihak SPRM untuk menerima lebih banyak aduan.

“Persoalannya, adakah organisasi tersebut bersedia dan komited untuk berubah atau tidak, perubahan ini bukanlah sesuatu yang rumit untuk dilaksanakan dan tidak memerlukan kos yang tinggi, malahan akan membendung ketirisan,” katanya.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami