Sindiket judi dalam talian: Wanita hamil antara 15 ditahan

31/12/2020 05:34 PM

SUBANG JAYA, 31 Dis  -- Seorang wanita tempatan yang sarat mengandung antara 15 individu yang ditahan dalam tiga serbuan di sebuah kondominum mewah di sini hari ini kerana disyaki terlibat dengan sindiket judi secara dalam talian. 

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Abd Khalid Othman berkata dalam serbuan yang bermula pada 10 pagi itu, kesemua individu termasuk empat wanita warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun didapati sedang leka mengendalikan pertaruhan judi sebelum menyedari kehadiran polis. 

“Dalam serbuan di rumah pertama, kita menahan sepasang suami isteri warga tempatan dengan si isteri hamil serta empat individu lain. 

“Susulan tangkapan itu membawa kepada serbuan kedua dan ketiga di kondominium yang sama namun berlainan blok dan penahanan masing-masing enam dan tiga individu di setiap premis,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Beliau berkata kesemua kediaman yang diserbu menempatkan pelbagai peralatan komputer bagi memantau dan melakukan transaksi pertaruhan. 

Turut dirampas 20 komputer dan berbelas-belas unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian itu bagi membantu siasatan. 

Hasil siasatan mendapati pekerja terbabit diupah dengan bayaran di antara RM1,000 hingga RM1,800 sebulan selain menerima komisen bagi setiap kutipan wang pertaruhan. 

Abd Khalid berkata sindiket itu juga dipercayai mengaut keuntungan mencecah RM200,000 sebulan melalui kegiatan tersebut. 

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti dan sedang memburu dalang utama sindiket itu, yang merupakan seorang lelaki warga tempatan. 

“Individu yang telah dikenal pasti itu akan ditahan dalam masa terdekat dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam usaha membanteras kegiatan perjudian dalam talian habis-habisan,” katanya. 

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka dan Akta Imigresen kerana keempat-empat wanita warga asing didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. 

-- BERNAMA 

 

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami