Polis tahan 38 pendatang warga Indonesia termasuk ketua sindiket penyeludupan migran

18/12/2020 04:20 PM

SHAH ALAM, 18 Dis -- Seorang kanak-kanak lelaki berumur setahun 10 bulan antara 38 pendatang tanpa izin warga Indonesia yang ditahan, dalam satu serbuan di sebuah hotel murah di sekitar Klang pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu dilakukan hasil maklumat Op Lejang, susulan sekumpulan warga Indonesia yang menginap di hotel berkenaan dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, antara yang ditahan itu adalah ketua sindiket penyeludupan migran berumur lingkungan 50an, berperanan sebagai pengutip wang daripada pendatang tanpa izin bagi menguruskan penempatan sementara dan mengaturkan tarikh yang sesuai untuk mereka pulang ke negara asal menaiki bot.

Beliau berkata, turut ditahan adalah dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan 40an bertindak sebagai tekong darat yang menguruskan pendatang tanpa izin berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati kesemua warga Indonesia berumur lingkungan setahun hingga 50 tahun itu menginap di tujuh bilik di hotel berkenaan yang telah disewa oleh seorang lelaki tempatan.

“Siasatan lanjut mendapati, bilik-bilik berkenaan disewa sebagai penempatan sementara untuk kesemua pendatang tanpa izin itu sebelum balik ke negara asal melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nurulhuda, siasatan awal mendapati kesemua pendatang tanpa izin itu sedang dalam proses untuk balik ke Indonesia selepas visa mereka sudah tamat tempoh dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati sindiket tersebut mula beroperasi sejak enam bulan lepas dan mana-mana pendatang tanpa izin yang ingin pulang menerusi mereka, dikenakan bayaran sebanyak RM1,200 sehingga RM2,500 setiap seorang, mengikut jarak perjalanan.

“Sindiket ini juga memperkenalkan diri sebagai agen yang boleh menguruskan pendatang tanpa izin untuk pulang ke Indonesia, dengan menggunakan hotel sebagai penempatan sementara.

Katanya lagi, kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami