Jabatan Imigresen selamatkan enam warga Nepal mangsa eksploitasi

30/10/2020 06:13 PM

PUTRAJAYA, 30 Okt -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyelamatkan enam warga Nepal yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi sebuah syarikat pengawal keselamatan di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kesemua lelaki itu berumur antara 30 hingga 40 tahun, itu disyaki dijadikan buruh paksa oleh majikan dan mereka diselamatkan ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah premis kediaman yang dijadikan asrama pekerja.

"Premis kediaman itu dilihat dalam keadaan daif, sempit dan tidak selesa. Hasil temu bual dengan mangsa mendapati mereka kini tidak bekerja dan tidak diberi gaji selama tempoh lebih kurang enam bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa diselamatkan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)  serta ditempatkan di rumah perlindungan, katanya.

Khairul Dzaimee berkata mereka mendakwa telah diabaikan oleh majikan dengan tidak diberikan sebarang bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang mereka tidak diberikan gaji.

Mangsa juga mendakwa pihak majikan enggan menemui mereka meskipun beberapa kali cuba dihubungi, katanya.

Khairul Dzaimee berkata pejabat majikan mangsa yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan mangsa turut diperiksa ketika operasi, dan beberapa dokumen telah dirampas.

Beliau berkata majikan dan pemilik syarikat telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12 ATIPSOM kerana kesalahan memperdagangkan orang bagi maksud eksploitasi, yang  jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan juga didenda tidak lebih RM150,000, katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa juga telah menjalani saringan COVID-19 dan  didapati negatif oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

-- BERNAMA

 

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami