Lima pegawai PTS Papar positif COVID-19, 33 PTI jalani saringan - Masidi

24/10/2020 10:19 PM

KOTA KINABALU, 24 Okt  -- Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenal pasti kes positif COVID-19 melibatkan lima pegawai yang bertugas di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Papar, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Susulan itu, seramai 33 pendatang tanpa izin di pusat tahanan berkenaan telah menjalani saringan pada hari ini dan masih menunggu keputusan, katanya dalam sidang media di sini, malam ini.

Sementara itu, Masidi berkata terdapat 889 kes baharu COVID-19 dicatatkan di Sabah pada hari ini dengan enam kematian direkodkan.

Jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 11,285 kes dan sehingga hari ini, seramai 4,908 pesakit dilaporkan sembuh manakala 6,287 pesakit sedang menerima rawatan di hospital seluruh negeri, katanya.

Masidi berkata Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi iaitu 557 kes, dengan 434 kes daripadanya adalah kluster Penjara Kepayan.

Beliau berkata banduan dan orang kena tahan (OKT) adalah antara kategori yang perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dimasukkan ke lokap polis atau ke dalam penjara.

“Sebenarnya, banduan-banduan di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan menjalani saringan COVID-19 sebelum dimasukkan ke dalam penjara. Contohnya, jumlah kumulatif banduan dan OKT yang disaring di Sandakan setakat hari ini adalah 767 orang,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan II Sabah berkata, sejumlah RM26.7 juta peruntukan telah disalurkan di 25 daerah seluruh negeri untuk digunakan bagi tujuan pengagihan bakul makanan yang sedang giat dijalankan ketika ini.

Sehingga kini, sebanyak 84,814 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan memerlukan dan jumlah itu akan bertambah dari hari ke hari, katanya.

“Berdasarkan Garis Panduan Bekalan Bakul Makanan yang telah disediakan, nilai bakul makanan tersebut adalah RM100 setiap satu,” katanya.

Mengenai kadar pematuhan penduduk terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, Masidi berkata, Sabah mencatatkan 96.13 peratus.

Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 dengan terus mematuhi SOP termasuk mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian, katanya.

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami