Ops Benteng kini fokus pendekatan pengusiran berbanding tangkapan - Ismail Sabri

24/10/2020 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt -- Ops Benteng kini memberi fokus kepada pendekatan pengusiran terhadap pendatang tanpa izin berbanding tangkapan sebelum ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau berkata pihak berkuasa mengambil pendekatan tersebut memandangkan antara punca peningkatan kes COVID-19 dalam negara terutamanya di pantai timur Sabah adalah disebabkan tahanan yang positif menjangkiti tahanan lain. 

"Kita tahu salah satu punca meningkatnya COVID-19 di negara khususnya di pantai timur Sabah apabila pendatang tanpa izin ditahan dan bercampur dengan tahanan lain, akhirnya menjangkiti tahanan lain sehingga virus itu merebak sampai ke luar (tahanan).

"Jadi sekarang, kita membuat keputusan dari segi Ops Benteng, kita halau dan usir mereka sebelum memasuki kawasan sempadan negara kita. Apabila mereka melepasi kawasan sempadan, kita tahan mereka dan begitu juga bagi tahanan di sekatan jalan raya,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi Ops Benteng, sejumlah 27 pendatang tanpa izin ditahan dan lapan kenderaan darat dirampas, semalam. 

Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 585 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP dan daripada jumlah itu, seramai 569 individu dikompaun, 13 direman manakala tiga lagi dijamin, semalam.

Beliau berkata antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk tidak memakai pelitup muka melibatkan  224 individu, gagal mematuhi penjarakan fizikal (199) dan gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (96). 

Sementara itu, beliau berkata dari 24 Julai sehingga semalam, seramai 53,659 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan daripada jumlah itu, 8,378 individu sedang menjalani kuarantin wajib. 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia mendapati daripada 131 tapak binaan yang diperiksa, 86 tapak pembinaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami