Op Benteng : 497 migran dan 28 tekong diusir keluar - Affendi

20/10/2020 02:34 PM

KUALA LUMPUR, 20 Okt -- Seramai 497 migran dan 28 tekong telah diusir melalui Op Benteng di Sarawak hasil koodinasi bersepadu Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF) bagi tempoh 1 Mei sehingga Ahad lepas.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata jumlah berkenaan terdiri daripada 459 warga Indonesia manakala selebihnya merupakan warga asing daripada pelbagai negara antaranya Filipina, Bangladesh, Thailand, India, Vietnam dan Myanmar.

Beliau berkata 28 tekong itu, merupakan tekong darat yang terdiri daripada 23 tekong Indonesia dan lima tekong tempatan. 

"Mereka telah diusir melalui 56 pengusiran yang dilakukan pelbagai agensi seperti ATM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Jabatan Sukarelawan.

"Ia merupakan langkah untuk menangani penularan wabak COVID-19 oleh migran dan Op Benteng di bawah NTF sentiasa meningkatkan kesiagaan kawalan sempadan di Sarawak dan persempadanan maritim mahupun daratan,” katanya dalam kenyataan.

Affendi berkata aspek kesiagaan kawalan sempadan diberi perhatian susulan situasi peningkatan wabak itu di Sabah, selain memberi tumpuan kepada lorong-lorong tikus yang menjadi titik panas migran untuk masuk dan keluar dari Sarawak.

Beliau berkata penugasan NTF di Sarawak meliputi atur gerak komponen maritim merangkumi lapan sektor rondaan antaranya tentera laut, tentera darat, Pasukan Polis Marin manakala komponen daratan timur melibatkan Pasukan Gerakan Am, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Jabatan Sukarelawan.

“Melalui kawalan persempadanan daratan Sarawak-Kalimantan, Op Benteng diperkasakan dengan operasi sedia ada iaitu Op Awas/ Keris Parang, Op Kerangka, Op Suluh Kenyalang dan Op Jagakawan yang dioperasikan Tentera Darat,” katanya.

Operasi berkenaan melibatkan kawalan persempadanan di sektor Biawak, Kandie, Serikin, Tebedu, Balai Ringin dan Lubok Antu di Sarawak.

“Masyarakat terutama di Sarawak digesa bekerjasama dalam menyalurkan maklumat berkenaan pendatang tanpa izin, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan melalui talian utama Pusat Operasi NTF (011-6251 1223),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 105179

Kategori

Mengenai MAPO
Direktori
Berita
Gambar
Infografik

Ikut Kami