KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa anak perempuan taikun Kumpulan Genting Tan Sri Lim Goh Tong bertindak mengurangkan pemberian wang tunai kepada dua anaknya dalam wasiat terakhir kerana berasa telah dikhianati dan kecewa dengan tindakan mereka.
Peguam Low Beng Choo, 68, yang menyediakan wasiat terakhir itu, berkata Lim Siew Kim telah meluahkan kemarahan serta kekecewaannya terhadap plaintif pertama iaitu Chan T'Shiao Li dan suami anaknya itu yang didakwa telah “mencuri” selain membuat tuntutan palsu daripada beberapa syarikat di mana mereka terlibat.
“Plaintif pertama telah diminta meninggal syarikat namun akhirnya meletakkan jawatan secara sukarela.
“Bagi plaintif kedua pula, iaitu Kimberly Chan T'Shiao Miin, Siew Kim telah meluahkan kebimbangan berikutan dua insiden yang berlaku...pertama, membabitkan prosiding perundangan berhubung dakwaan terhadap keadaan mental mendiang manakala satu lagi berkaitan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli keluarga ketika suami Siew Kim dirawat di hospital dan terpaksa bergantung kepada mesin sokongan hayat.
“Kami telah membincangkan perkara ini dan saya telah memberitahu mendiang bahawa mereka tetap anak-anak beliau... saya telah bertanya sama ada beliau ingin mengubah pemberian tunai itu kepada masing-masing RM900,000 dan RM100,000.
“Siew Kim telah menjawab dengan tegas dan dalam keadaan amat marah: 'Tiada perubahan... mereka tidak layak menerimanya… mereka bernasib baik kerana saya masih ingin memberikan sesuatu,” katanya.
Low, yang juga defendan keempat, berkata keadaan mental Siew Kim ketika itu adalah normal dan beliau tahu apa yang dilakukannya, kepada siapa pemberian itu dibuat serta perkara-perkara yang ingin dimasukkan dalam wasiatnya.
Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili defendan pertama iaitu pelaksana harta pusaka mendiang, Malcolm Fernandez.
Pada peringkat ini, peguam Datuk V. Sithambaram yang bertindak bagi kedua-dua anak perempuan mendiang, membantah keterangan Low atas alasan ia adalah dengar cakap.
Pada mulanya, Low enggan mendedahkan sebab-sebab jumlah pemberian tunai itu dikurangkan kerana ia tertakluk kepada kerahsiaan antara peguam dan pelanggan.
Namun, Hakim Mahkamah Tinggi Mahazan Mat Taib meminta beliau mendedahkannya.
Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan Siew Kim pada awalnya memperuntukkan RM10 juta bagi setiap anak perempuan beliau dalam wasiat pertama namun mengurangkannya kepada RM900,000 untuk T'Shiao Li dan RM100,000 untuk Kimberly dalam wasiat kedua, dan mengekalkan jumlah itu dalam wasiat terakhirnya.
Ketika disoal Sithambaram mengenai keadaan kesihatan Siew Kim, Low berkata mendiang tidak dipasang tiub hidung ketika menandatangani wasiat terakhirnya di sebuah hospital swasta semasa menerima rawatan bagi kanser ovari.
Low, satu-satunya pemegang amanah yang masih tinggal bagi Yayasan Dikim dan dinamakan sebagai benefisiari utama harta pusaka Siew Kim dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion, berkata beliau tidak tahu sama ada Siew Kim telah dipreskripsikan morfin untuk mengurangkan kesakitan dan melegakan sesak nafas ketika beliau mendapatkan tandatangan bagi wasiat itu.
Menerusi saman yang difailkan pada 2023, kedua-dua beradik itu menamakan empat defendan termasuk Low dan abang mereka, Marcus Chan Jau Chwen, serta mencabar keupayaan mental Siew Kim untuk melaksanakan wasiat tersebut selain mendakwa terdapat keadaan mencurigakan berkaitan penyediaan wasiat dokumen berkenaan.
Siew Kim, anak ketiga kepada pengasas Kumpulan Genting, meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2022 pada usia 73 tahun dan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Perbicaraan bersambung 27 Julai ini.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah