Bahasa : BM | EN

Selayang Baru Diserbu, 843 Pendatang Tanpa Izin Ditahan

07/12/2025 09:53 AM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Sebanyak 843 pendatang tanpa izin termasuk 35 wanita ditahan dalam operasi bersepadu di Selayang Baru dekat sini atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen, malam tadi. 

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan negeri berkata mereka berusia antara 21 hingga 53 tahun dan berasal dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal serta Pakistan.

“Operasi dilaksanakan selepas menerima aduan masyarakat mengenai lambakan pekerja asing termasuk ada yang menjalankan perniagaan di tepi jalan,” katanya pada sidang media selepas menyertai operasi itu.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Datuk Lokman Effendi Ramli, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dan Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin. 

Amirudin berkata mereka ditahan disyaki melakukan kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan menggunakan kad tidak diiktiraf, dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

Operasi melibatkan 358 anggota pelbagai agensi keselamatan termasuk Jabatan Imigresen, polis, tentera, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak berkuasa tempatan.

Amirudin berkata operasi sama yang pernah dilaksanakan di beberapa lokasi lain di Selangor termasuk Seri Muda, Shah Alam dan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Operasi ini akan diteruskan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warga asing yang melanggar undang-undang selaras Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Selain itu, Amirudin berkata dua warga tempatan turut ditahan dalam operasi itu berkaitan penyalahgunaan dadah.

Mengulas dakwaan kos sewa rendah menarik warga asing tinggal di Selayang Baru, beliau berkata faktor itu disebabkan permintaan dan penawaran, selain lokasinya yang hanya 20 minit dari pusat bandar dan menjadi tumpuan aktiviti perdagangan serta pekerjaan harian.

Amirudin juga mengingatkan majikan supaya menggunakan saluran sah ketika menggaji pekerja asing bagi mengelakkan gangguan operasi perniagaan dan memastikan keselamatan negara terjamin.

-- BERNAMA 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami