Bahasa : BM | EN

Pihak lindungi pendatang tanpa izin berdepan hukuman berat - Imigresen

23/07/2021 11:23 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai -- Mana-mana badan bukan kerajaan (NGO), majikan atau individu yang melindungi dan mengambil pendatang asing tanpa izin bekerja tanpa dokumen dan pas yang sah, boleh dikenakan tindakan berat termasuk hukuman denda sehingga RM50,000.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 juga memperuntukkan, individu atau organisasi yang melindungi lebih daripada lima pendatang tanpa izin, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak melebihi enam kali.

“Sejak 2019 hingga 2021, seramai 979 individu telah dikenakan tindakan undang-undang kerana melindungi pendatang tanpa izin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya bagi majikan yang menggaji pendatang tanpa izin pula boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali, bagi setiap orang pekerja yang diambil.

Sehubungan itu beliau menasihati majikan atau individu yang mengambil pendatang tanpa izin untuk bekerja, supaya segera mendaftarkan mereka dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja atau Rekalibrasi Pulang yang dilanjutkan sehingga 31 Dis ini.

“Setakat semalam, seramai 155,124 pendatang tanpa izin telah berdaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 102,592 pendatang tanpa izin telah mendaftar dalam Program Rekalibrasi Pulang,” katanya.

Menurutnya pendatang tanpa izin yang mendaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan dipertimbangkan untuk diberi vaksin COVID-19 bersama warga asing lain yang tinggal di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami