Bahasa : BM | EN

Polis P. Pinang tumpas sindiket pelacuran warga asing

11/05/2021 01:53 PM

GEORGE TOWN, 11 Mei -- Polis menumpaskan satu sindiket pelacuran membabitkan wanita warga asing yang berselindung di sebalik sebuah pusat spa di kawasan Persiaran Midland, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Mohd Ra'ais berkata dalam serbuan pada 9.15 malam itu, polis menahan empat wanita warga asing berusia 26 hingga 30 tahun serta seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai penjaga premis terbabit.

“Empat wanita itu didapati tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah malah premis tersebut juga beroperasi tanpa sebarang lesen perniagaan.

"Siasatan awal mendapati premis terbabit merupakan pusat spa sebelum ini, namun kini menjalankan kegiatan pelacuran dan perkhidmatan mengurut dengan menampal notis “premis ditutup” di pintu utama kononnya tidak beroperasi bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya ketika serbuan, terdapat empat lelaki yang dipercayai pelanggan di premis berkenaan dan pihaknya turut mengeluarkan kompaun terhadap kesemua mereka kerana gagal mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran.

Rahimi berkata empat wanita dan penjaga premis itu telah ditahan reman untuk siasatan lanjut  mengikut Seksyen 372A dan 372B Kanun Keseksaan serta Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata polis menahan seorang tukang masak kerana memiliki pelbagai jenis dadah dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Lenggong pada 3.50 petang, Ahad lepas.

Menurutnya, lelaki berusia 44 tahun itu yang turut positif dadah, ditahan bersama 187.4 gram (g) dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 135 biji pil ekstasi dan ketamin sebanyak 8.95 g yang kesemuanya bernilai RM11,485 di rumah yang disewanya sejak lima bulan lepas.

"Siasatan mendapati lelaki itu mendapatkan bekalan dadah daripada rakannya sebelum mengedarkannya di sekitar George Town, malah dia juga mempunyai kepakaran untuk mencampurkan MDMA dalam jus minuman dan dijual kepada pelanggan tetapnya," katanya.

Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami