Bahasa : BM | EN

ESSCom tahan tekong, pendatang haram di Tawau

27/04/2021 03:25 PM

TAWAU, 27 April -- Cubaan dua tekong membawa masuk sembilan pendatang haram dari Nunukan, Indonesia ke Sabah melalui daerah ini gagal apabila ditahan pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Kampung Sri Pantai di sini semalam. 

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata tangkapan itu dilakukan selepas Pasukan Gerakan Am serta Pasukan Polis Marin yang dalam rondaan Op Cegah Pati (OCP) Daratan terserempak dua kenderaan mencurigakan di kampung itu pada 6 petang. 

"Hasil pemeriksaan pada kenderaan pertama mendapati pemandunya yang juga warga asing berusia 36 tahun membawa dua pendatang haram, manakala seorang pemandu tempatan berusia 21 tahun memandu sebuah lagi kenderaan dengan membawa tujuh pendatang haram.

“Semua pendatang haram ini terdiri daripada enam lelaki dewasa dan seorang wanita, serta dua kanak-kanak iaitu lelaki dan perempuan berumur antara setahun hingga 36 tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Ahmad Fuad berkata dua kenderaan yang digunakan membawa pendatang itu turut disita dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Katanya pasukan keselamatan sentiasa berusaha membendung jenayah rentas sempadan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

-- BERNAMA

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami