Bahasa : BM | EN

Pegawai imigresen dipenjara 10 hari, denda RM10,000 terima rasuah

17/03/2021 05:31 PM

SHAH ALAM, 17 Mac -- Seorang pegawai Imigresen hari ini, dipenjara 10 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,600 pada 2019 dan tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Azam Azhari Juhari, 39, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh jurubahasa hari ini.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu, Mohd Azam Azhari dijatuhi hukuman denda RM10,000 dan boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda selain mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 hari bermula hari ini. 

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Azam Azhari yang merupakan pegawai Imigresen gred KP19 telah menerima suatu benda berharga tanpa balasan iaitu wang berjumlah RM2,600 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu dilakukannya di kaunter Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sekitar November 2019 hingga Mac 2020.

Terdahulu, Mohd Azam Azhari yang ditahan dalam Op Selat mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan pilihan menerima wang suapan berjumlah RM2,600 di bawah Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, dia pada tarikh dan tempat yang sama, bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, yang tertuduh telah melanggar peruntukan Akta SPRM untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam.

Bagaimanapun, mahkamah hari ini memerintahkan pertuduhan pilihan ke atasnya itu dilepaskan dan dibebaskan.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan permohonan SPRM untuk melucut hak hasil penerimaan rasuah oleh Mohd Azam Azhari iaitu masing-masing sebuah kereta pacuan empat roda Ford Ranger, motosikal berkuasa tinggi Ducati dan basikal ‘roadbike’ Sworks.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Fadhli Ab. Wahab manakala Mohd Azam Azhari diwakili peguam Naim Kamaruddin.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami