KUALA LUMPUR, 5 Jan -- Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan membincangkan sama ada pekerja asing dan ekspatriat diberikan pemvaksinan percuma untuk mengekang penularan COVID-19 dengan berkesan.
Pengerusi bersama JKAV Khairy Jamaludin berkata kabinet telah mengarahkan jawatankuasa itu mengemukakan syor berkenaan perkara itu dalam beberapa minggu.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata perbincangan itu akan melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Luar.
“Prinsipnya mudah, kita perlu memvaksin pekerja asing bagi memastikan mereka selamat untuk memastikan kita juga selamat.
Lebih ramai orang yang divaksin, lebih selamatlah kita, katalah kita hanya memvaksin rakyat kita tapi kita tak memvaksin warga asing, ia tidak banyak membantu kerana kita tidak akan mencapai keimunan kelompok,” kata beliau dalam satu sidang media di sini hari ini.
Khairy berkata langkah sedemikian penting untuk menggalakkan majikan memastikan pekerja mereka divaksin sementara mencapai matlamat pemvaksinan seramai yang mereka mampu.
Khairy berkata kerajaan telah mengenal pasti 55 lokasi, kebanyakannya di kawasan bandar untuk menyimpan vaksin Pfizer yang memerlukan peti sejuk beku dengan suhu yang amat rendah.
Mengulas Pelan Vaksinasi Kebangsaan yang akan dimuktamadkan Khamis ini dan dijadualkan bermula pada Februari, beliau berkata ia akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin ini sebelum dibentangkan kepada kabinet pada Rabu.
“Kami akan mulakan dengan penilaian risiko, siapa yang berisiko tinggi dan kami akan memulakan dengan kumpulan itu. Itu akan diumumkan selepas kabinet meluluskan pelan berkenaan.
Sudah tentu anda sudah mendengar pelan berkenaan secara umumnya setakat ini, pertama pekerja barisan hadapan dan kemudian mereka mempunyai komorbiditi (menghidap dua atau tiga penyakit serentak), kemudian warga emas dan sebagainya, selepas itu kita akan mempunyai satu sistem sebaik sahaja kebanyakan populasi sudah divaksinkan, siapa akan dapat dahulu dan di mana anda mendapat pemvaksinan,” katanya.
Khairy berkata rakyat Malaysia boleh mendapatkan akses kepada vaksin itu dengan mendaftarkan diri mereka menerusi aplikasi MySejahtera selepas pelan itu diluluskan.
“Ia adalah sukarela, jadi jika anda mahu divaksinkan, anda perlu mendaftar. Kami akan sediakan ciri pendaftaran di MySejahtera untuk anda mendaftarkan diri dan menyatakan anda bersetuju dan anda mendaftar untuk menerima pemvaksinan,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata Kementerian Kesihatan akan memantau kesan sampingan vaksin itu untuk beberapa tahun pertama dan orang awam digalakkan untuk melaporkan sebarang kesan sampingan menerusi MySejahtera.
Terdahulu, Khairy menghadiri prosiding bagi memberi penerangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tentang perolehan vaksin COVID-19 dan penggunaannya pada rakyat Malaysia yang turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Sementara itu, Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam kenyataan berkata secara keseluruhannya PAC Parlimen berpuas hati dengan keterangan dan penjelasan diberikan Khairy, Dr Adham dan Dr Noor Hisham dalam isu perolehan serta penggunaan vaksin COVID-19.
"Prosiding ini adalah selari dengan hasrat PAC dalam memastikan perbelanjaan kerajaan benar-benar telus demi manfaat rakyat secara keseluruhannya.
"PAC Parlimen untuk kali pertamanya akan mengadakan mesyuarat khas bersama MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sebelum laporan PAC dibentangkan di Dewan Rakyat dalam memastikan segala syarat perjanjian berkenaan dipatuhi," katanya.
Menurut beliau, PAC Parlimen komited membantu memberikan keyakinan kepada rakyat dalam mendapatkan vaksinasi COVID-19 supaya penularan wabak itu dapat dihentikan.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah