Bahasa : BM | EN

Perkeso gesa majikan segera hantar pekerja asing jalani saringan COVID-19

31/12/2020 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggesa majikan supaya segera menghantar pekerja asing masing-masing untuk menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memutuskan rantaian COVID-19 dan tidak menunggu saat-saat akhir untuk berbuat demikian. 

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed  berkata setakat 12 tengah hari 29 Dis, sejumlah 74,482 ujian saringan melibatkan 2,601 majikan telah dikendalikan di bawah  Program Saringan COVID-19 bagi Pekerja Asing yang  bermula pada 1 Dis lalu di empat negeri serta dua Wilayah Persekutuan. 

"Angka ini menunjukkan hanya kira-kira 8.5 peratus pekerja asing di kawasan sasaran telah menjalani saringan COVID-19," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohammed Azman berkata sebanyak 311,837 kit saringan RTK-Antigen telah diedarkan kepada klinik-klinik berdasarkan permintaan dan keperluan. Jumlah itu jauh lebih besar berbanding bilangan pekerja asing yang telah menjalani ujian saringan.

"Arahan kerajaan dalam mewajibkan semua majikan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 ke atas pekerja asing seharusnya dilihat sebagai langkah pencegahan besar-besaran untuk mengekang peningkatan jumlah kes COVID-19 dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi tinggi iaitu pekerja asing," katanya.

Beliau berkata Perkeso telah membeli hampir satu juta kit ujian RTK-Antigen dan jumlah itu amat mencukupi bagi menampung bilangan pekerja asing yang mencarum dengan Perkeso di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Labuan.

Mohammed Azman berkata sebanyak 750 klinik menyertai program tersebut dengan kos perkhidmatan saringan bergantung pada kinik masing-masing dan majikan bebas memilih klinik yang dikehendaki.

"Maklum balas yang diterima oleh Perkeso daripada kumpulan-kumpulan perubatan serta Persatuan Perubatan Malaysia menunjukkan bahawa kos ujian saringan berkurangan hampir separuh daripada sebelum ini,” katanya. 

.Beliau berkata langkah pencegahan COVID-19 melibatkan kerjasama pelbagai pihak dan selain Perkeso, aktiviti penguatkuasaan yang akan bermula pada 1 Jan akan diterajui oleh Jabatan Tenaga Kerja dengan penglibatan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dilaporkan berkata seramai 888,000 pekerja warga asing dalam enam kawasan berisiko tinggi perlu menjalani saringan COVID-19 yang dimulakan sejak 1 Dis.

Mulai esok, majikan yang gagal membawa pekerja asing mereka menjalani ujian saringan COVID-19  boleh dikenakan  kompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah.

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami