Bahasa : BM | EN

18 warga Indonesia ditahan cuba masuk Malaysia

23/12/2020 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis -- Cubaan 18 pendatang tanpa izin menyusup masuk ke negara ini mengundang padah apabila ditahan dalam Op Benteng, awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata pasukan pos pemerhati mengesan sebuah bot mencurigakan merapati pantai di kawasan am Kuari Batu, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom, Kota Tinggi, Johor pada kira-kira 5.06 pagi.

Pasukan Briged Ketujuh Infantri Malaysia mengatur gerak Tim Quick Reaction Force serta menghubungi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tim Drone daripada Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) bagi pemantauan dan mengepung kawasan itu.

“Seramai 17 pendatang tanpa izin ditahan pada 6.25 pagi manakala seorang lagi yang cuba menyembunyikan diri berjaya ditemukan di sekitar kawasan itu pada kira-kira 11.25 pagi.

“Mereka terdiri daripada 13 lelaki dan lima wanita berusia lingungan 18 hingga 45 tahun yang dipercayai baru masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM11,484.20 termasuk wang tunai RM2,915.25, mata wang Indonesia IDR 7,783,700 (RM2,215.46) serta telefon bimbit, jam tangan pelbagai jenama dan barang kemas.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pasukan meneruskan atur gerak QRF bagi menjejak kemungkinan saki-baki mereka di sekitar kawasan tangkapan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami