KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Jabatan Imigresen menafikan laporan sebuah akhbar tempatan bertajuk '200,000 warga asing bolos’, selain mendakwa laporan itu tidak benar serta tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya memandang serius isu tersebut kerana laporan berkenaan mampu memberi persepsi yang salah dalam usaha agensi penguatkuasaan menjalankan tugas membanteras kegiatan sindiket pendatang tanpa izin.
Beliau berkata pihaknya sentiasa menjalankan usaha membanteras kegiatan sindiket berkaitan pendatang tanpa izin termasuk melakukan kerja-kerja perisikan, operasi penguatkuasaan dan perkongsian maklumat bersama agensi lain.
"Bagi tahun ini bermula 1 Jan hingga 18 Nov, seramai 34,529 pendatang tanpa izin ditahan daripada 90,292 orang yang diperiksa melalui 6,300 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata seramai 376 majikan telah ditahan bagi tempoh yang sama.
"Dalam hal ini, Jabatan Imigresen bekerjasama rapat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam usaha melumpuhkan sindiket yang membabitkan ejen-ejen pendatang tanpa izin dan pegawai imigresen sendiri," katanya.
Khairul Dzaimee berkata jabatan itu tidak akan berkompromi terhadap apa jua bentuk kegiatan yang melanggar undang-undang serta akan memastikan usaha membanteras sindiket pendatang haram dan aktiviti tidak berintegriti sentiasa dilaksanakan.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah