Bahasa : BM | EN

KDN bincang pinda Akta Imigresen, perketat hukuman pendatang tanpa izin

18/11/2020 01:40 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Hukuman lebih berat ke atas pendatang tanpa izin dan majikan adalah antara tumpuan Pelan Holistik Penguatkuasaan Pendatang Tanpa Izin yang kini sedang digubal oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata aspek hukuman itu diteliti menerusi cadangan pindaan ke atas Akta Imigresen 1959/63.

Perbincangan dengan agensi dan pihak berkaitan telah diadakan dari 24 hingga 26 Sept lepas dan hasil perbincangan akan diperhalusi oleh KDN, katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) yang ingin tahu aspek utama yang akan diberi perhatian, khususnya berkenaan strategi perundangan dan dasar yang akan digubal oleh KDN  dalam Pelan Holistik Penguatkuasaan Pendatang Tanpa Izin.

Ismail berkata perundangan dan dasar adalah antara lima strategi dalam pelan yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun itu.

Empat strategi lain ialah kawalan sempadan dan pintu masuk; pengurusan pekerja asing;  operasi penguatkuasaan pendatang tanpa izin; serta  strategi media dan publisiti yang berkaitan pelaporan media, publisiti dan program kesedaran berkaitan golongan itu.

“Objektif pelan ini ialah mewujudkan satu ekosistem yang tidak selesa kepada pendatang tanpa izin dalam meneruskan kehidupan seharian mereka melalui pendekatan mendaya upaya agensi penguat kuasa dan kawal selia sedia ada, termasuk meningkatkan kerjasama strategik dan kesedaran masyarakat setempat.

“Sehubungan itu, KDN melalui Jabatan Imigresen dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain, terutamanya polis dan APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Che Alias mengenai status pelaksanaan Pelan Holistik Penguatkuasaan Pendatang Tanpa Izin yang dirangka bagi membanteras kebanjiran golongan itu di negara ini.

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami